Hasni menghadap Sultan Johor

Iklan
Hasni (kiri) mempengerusikan Mesyuarat UMNO Johor di Pejabat UMNO Johor di sini pada Sabtu

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad memberi isyarat seakan mengesahkan khabar angin bahawa beliau akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Hasni dilihat mengangguk kepala apabila ditanya pemberita adakah beliau akan melakukan pertemuan bersama Sultan Ibrahim ketika ditemui semasa menghadiri Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di Pejabat UMNO Johor di sini, pada Sabtu.

Iklan
Iklan

"Ia akan menjadi hari yang sibuk,” kata Hasni ringkas sebelum memasuki pekarangan Pejabat UMNO Johor untuk mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor itu didakwa akan membincangkan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula kira-kira jam 2.20 petang.

Iklan

Antara yang kelihatan pada mesyuarat itu adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Selain itu, turut hadir Setiausaha UMNO Johor yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali, Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Iklan

PRN Johor dilihat menjadi topik yang hangat diperkatakan selepas kerajaan negeri kini hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang dengan 27 kerusi.

Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor juga sehingga kini tidak memberi kata putus mengenai spekulasi berkenaan namun hanya menjelaskan keperluan PRN Johor itu perlu dibuat.