JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) yakin mampu mempertahankan dan menang di kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pulai menerusi gabungan calon berpengalaman dan muka baharu yang disifatkan memiliki kredibiliti untuk berkhidmat kepada rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pemilihan Datuk Ramlee Bohani di DUN Kempas dan Pannir Selvam di DUN Perling bukan dibuat atas pertimbangan politik semata-mata, sebaliknya berdasarkan keupayaan kedua-dua calon membawa penyelesaian kepada isu rakyat.
Menurut beliau, BN tidak memerlukan calon yang hanya lantang bercakap ketika musim pilihan raya, sebaliknya individu yang mampu melaksanakan tanggungjawab apabila diberikan amanah.
"Rakyat hari ini sudah semakin matang. Mereka tahu membezakan antara calon yang bekerja dengan calon yang hanya pandai mencipta persepsi.
"Sebab itu BN Pulai mempertaruhkan Ramlee , penyandang kerusi DUN Kempas dengan track record cemerlang dan Pannir yang memiliki pengalaman selama enam penggal sebagai Ahli Majlis. Mereka datang dengan kekuatan yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama, iaitu berkhidmat kepada rakyat dan memastikan pembangunan di Pulai terus bergerak ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Nur Jazlan berkata, Ramlee merupakan calon penyandang yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran serta memahami keperluan masyarakat di Kempas.
Katanya, pengalaman dimiliki Ramlee menjadi aset penting bagi memastikan agenda pembangunan yang telah dirancang kerajaan negeri dapat diteruskan tanpa gangguan.
"Ramlee bukan orang baharu. Beliau mempunyai rekod perkhidmatan yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat. Beliau memahami selok-belok pentadbiran dan tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah, bukannya sekadar menjadi pengkritik di luar gelanggang,” ujarnya.
Mengulas mengenai pencalonan Pannir Selvam di DUN Perling, Nur Jazlan berkata, BN sengaja mengetengahkan generasi baharu pemimpin yang mampu membawa idea segar dan mendekati semua lapisan masyarakat.
Menurut beliau, walaupun Pannir mewakili MIC, beliau membawa semangat Barisan Nasional yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi sentimen perkauman.
"Ada pihak cuba melihat Pannir daripada sudut kaum semata-mata. Itu persepsi lapuk.
"Di bawah BN, beliau bukan calon untuk satu kaum sahaja. Beliau ialah calon Bangsa Johor yang komited berkhidmat kepada semua penduduk Perling tanpa mengira Melayu, Cina, India atau mana-mana kaum," katanya.
Beliau berkata, kombinasi pengalaman Ramlee dan semangat pembaharuan yang dibawa Pannir merupakan cerminan proses pembaharuan BN yang mengekalkan kekuatan pemimpin berpengalaman, pada masa sama membuka ruang kepada pelapis berkualiti.
"Kita tidak memilih calon berdasarkan siapa paling popular di media sosial atau paling kuat berceramah. Kita memilih calon yang boleh turun padang setiap hari, menyelesaikan masalah rakyat dan menjadi sebahagian daripada pasukan kerajaan negeri.
"Itulah bezanya BN. Kita menawarkan pasukan yang mempunyai rekod mentadbir, pengalaman membangunkan negeri dan kemampuan untuk terus membawa pelaburan, peluang pekerjaan serta kemudahan kepada rakyat," ujar beliau.
Nur Jazlan berkata, rakyat Johor juga perlu melihat pilihan raya kali ini sebagai peluang mengekalkan kestabilan politik yang menjadi asas kepada pelbagai kejayaan kerajaan negeri sejak empat tahun lalu.
"Saya percaya pengundi di Kempas dan Perling akan membuat pilihan yang bijak. Mereka mahukan wakil rakyat yang boleh bekerja bersama kerajaan negeri, bukannya ahli politik yang hanya muncul ketika pilihan raya dan selepas itu menghilang.
"Mandat kepada Ramlee dan Pannir bukan sekadar memilih dua wakil rakyat, tetapi memastikan Pulai terus mendapat perhatian dalam agenda pembangunan Johor," katanya
Beliau turut menyeru seluruh jentera BN supaya menggandakan usaha pada saat-saat akhir kempen bagi memastikan mesej mengenai rekod pencapaian kerajaan negeri dan kekuatan kedua-dua calon dapat disampaikan secara menyeluruh kepada pengundi.