[VIDEO] Pengarah, artis kebudayaan JKKN Pahang didakwa palsu dokumen

Iklan
Mardziana (tengah)mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan memalsukan dokumen daripada sebuah syarikat pada 2020.

KUANTAN - Seorang pengarah dan artis kebudayaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas pertuduhan memalsukan dokumen daripada sebuah syarikat dua tahun lalu.

Tertuduh, Dayang Kartini Awang Bujang, 46, dan Mardziana Che Mohd Amin, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mereka didakwa dengan niat bersama telah memalsukan dokumen iaitu dokumen arahan pembayaran berkaitan perkhidmatan menyediakan aksesori set kepala pelanduk bagi jabatan kumpulan kesenian atas nama sebuah syarikat Anas Niaga berjumlah RM9,920 kepada jabatannya.

Iklan
Iklan

Dayang Kartini dan Mardziana didakwa mengetahui perkhidmatan tersebut tidak dilaksanakan Anas Niaga dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan bagi tujuan hendak menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh mereka di pejabat JKKN di Kuantan pada 26 Jun 2020.

Iklan

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun serta hendaklah dikenakan denda.

Dayang Kartini (dua dari kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan memalsukan dokumen daripada sebuah syarikat pada tahun 2020.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kamariah Seman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Iklan

Peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar mewakili kedua-dua tertuduh memohon pengurangan wang jaminan atas beberapa alasan.

"Tertuduh pertama iaitu Dayang Kartini masih berkhidmat sebagai penjawat awam dan mempunyai pendapatan bersih RM3,000 serta menanggung empat anak.

"Mardziana adalah tertuduh kedua dalam kes ini merupakan artis kebudayaan yang mempunyai pendapatan sekitar RM3,000 sebulan, menanggung tiga anak dan suami tertuduh pula tidak bekerja," jelasnya dalam prosiding itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan masing-masing seorang penjamin.

Kedua-dua tertuduh juga diminta melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan bermula bulan ini dan perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 22 Februari depan bagi penyerahan dokumen.