Bila polemik KWSP akan berakhir...

Iklan
KWSP telah mengeluarkan RM101 bilion untuk skim di bawah i-Sinar, i-Lestari dan i-citra.

ISU pengeluaran simpan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus konsisten diperkatakan baik rakyat mahupun pemimpin daripada parti tertentu.

Terbaru, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang daripada KWSP yang berjumlah RM10,000 biarpun ada permintaan agar ia dipertimbangkan bagi tujuan meringankan beban mangsa banjir terjejas.

Iklan
Iklan

Jelasnya, secara keseluruhan, lebih tujuh juta pencarum yang telah mengeluarkan wang melalui KWSP dan lebih kurang 74 peratus pencarum yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka adalah golongan bumiputera.

Perkara sama turut dinyatakan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa pengeluaran tambahan KWSP akan memberi impak negatif kepada pencarum pada masa hadapan.

Iklan

Ini kerana katanya, rata-rata ahli telah mengeluarkan sebanyak RM21,000 sehingga RM71,000 melalui inisiatif khas termasuk i-Lestari dan i-Sinar sejak tahun lepas.

Bagaimanapun dalam kenyataan sama oleh Tengku Zafrul pada Jumaat lalu menyatakan bahawa suara-suara yang hari ini sibuk menghasut rakyat tidak terlibat sama sekali dalam membuat perhitungan dan perkiraan rapi ketika kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP sebelum ini.

Iklan

Dalam situasi banyak negeri dilanda banjir, ramai mangsa memerlukan wang untuk memulakan semula kehidupan selepas terkesan dengan bencana berkenaan dan Covid-19, polemik seumpama ini perlu dihentikan segera.

Semua pihak perlu duduk semeja menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat melalui satu kata putus.

Andai tiada lagi pengeluaran KWSP, perlu ada satu mekanisme daripada kerajaan untuk membantu rakyat secara keseluruhan dan bukan hanya tertumpu kepada mangsa banjir sahaja.

Jika dibenarkan pengeluaran tersebut, sepatutnya ada syarat-syarat khusus terutama dalam soal baki ahli KWSP ini dan menetapkan ia adalah pengeluaran terakhir serta tiada lagi pengeluaran seumpama itu pada masa akan datang kecuali disebabkan oleh faktor yang mendesak.