Kutip 6,800 tan metrik sampah akibat banjir

Iklan
Pungutan sisa pukal banjir dikumpulkan di satu tapak sementara bagi memudahkan aktiviti pemunggahan oleh lori ke pusat pelupusan sampah. Gambar kecil: Sharudin

KUANTAN - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengutip kira-kira 6,800 tan metrik sisa pukal banjir sejak operasi pembersihan pasca banjir dimulakan di negeri ini pada 22 Disember lalu.

Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, jumlah sisa itu dijangka ​meningkat sehingga 10,000 tan metrik setelah semua kerja pembersihan siap.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi mempercepatkan ​kerja-kerja pembersihan​, sebanyak 14 tapak pengumpulan sementara (transit) diwujudkan di kawasan berhampiran perumahan seluruh Pahang dengan persetujuan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita masih ada 14 tapak transit yang perlu diuruskan dan dijangkakan dalam masa antara empat hingga lima hari, masalah sisa pukal banjir ini boleh diselesaikan.

Iklan

"Buat masa sekarang, masalah yang kita hadapi ialah proses menghantar sampah ke pusat pelupusan memandangkan jumlah lori yang 'beratur' untuk membuang sampah di situ terlalu banyak, jadi masa banyak terbuang ketika proses terbabit.

"Kalau kita boleh tambah jumlah lori dan kekerapan 'trip' ke sana (pusat pelupusan), tidak ada masalah untuk selesaikan semua sampah ditempatkan di tapak transit ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui di tapak transit di taman perumahan Bukit Rangin 2 di sini pada Selasa.

Sharudin berkata, pihaknya mendapat kerjasama baik daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin setempat bagi mempercepatkan proses pungutan sisa pukal ini.

Katanya, terdapat pemimpin setempat yang menyewakan lori bagi tujuan mengangkut sampah di kawasan penempatan penduduk.

"Kita amat berterima kasih kepada pihak yang membantu mempercepatkan proses pembersihan. Kita juga ​telah mengarahkan kesemua syarikat konsesi untuk menggerakkan keseluruhan aset ​mereka.

"Selain itu, kita mengalu-alukan beberapa pihak yang telah menyumbangkan lori bersesuaian untuk membantu kerja-kerja pembersihan di seluruh Pahang," katanya.

Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda berkata, kerajaan negeri Pahang menjangkakan proses kutipan sampah dan pembersihan pasca banjir dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira dua minggu.

Menurutnya, tempoh itu dianggarkan mencukupi berdasarkan jumlah aset sedia ada dan bantuan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dari negeri lain yang turut sama membantu mempercepatkan proses pembersihan kawasan.

Katanya, buat masa ini pihak SWCorp melalui syarikat konsesi Alam Flora sedang memaksimumkan operasi mereka bagi memastikan kawasan terjejas banjir dapat dibersihkan mengikut jadual.

"Kalau di Kuantan sahaja, kita anggarkan hampir 500 tan sampah diuruskan setiap hari dan jumlah ini dijangka bertambah selepas proses pengumpulan sampah di tapak transit selesai dihantar ke pusat pelupusan.

"Buat masa ini, kita masih mampu menguruskan operasi pembersihan (pasca banjir) dan memang ada rakan kita (PBT) dari negeri berjiran yang membantu, cuma keadaan tidak seteruk (banjir) tahun 2013 dan 2014," katanya.