Hormat guru, ibu bapa rahsia Tokoh Kokurikulum Lelaki 2021

Iklan
Muhammad Hanif menunjukkan sijil penghargaan dan cenderahati yang diterima selepas dinobatkan Tokoh Kokurikulum Lelaki 2021 sempena Majlis Apresiasi Kokurikulum di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), pada Selasa.

KUALA TERENGGANU - Sentiasa menjaga hubungan baik dengan ibu bapa serta menghormati guru antara rahsia kejayaan yang dikongsi Tokoh Kokurikulum Lelaki 2021 sempena Majlis Apresiasi Kokurikulum di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), di sini pada Selasa.

Muhammad Hanif Hishamuddin, 17, berkata, kejayaan itu juga merupakan usaha berterusan sejak berada di Tingkatan Dua.

Iklan
Iklan

Anak kepada pasangan guru kaunseling dan sejarah itu mengakui terharu dengan anugerah yang diterima itu dan berharap mampu menyuntik semangatnya untuk terus aktif dalam bidang tersebut.

"Saya tidak menduga dipilih menerima anugerah tetapi ia memberi semangat untuk terus aktif dalam bidang ini," katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Kokurikulum di SMAASZA, di sini.

Iklan

Selain itu, pelajar berkenaan turut berkongsi perkara utama ialah menjaga solat dan zikir munajat serta amalan membaca mathurat untuk melindungi diri.

"Saya harap pencapaian cemerlang ini mampu membakar semangat pelajar lain untuk terus aktif dalam bidang kokurikulum ini," ujarnya.

Iklan

Antara pencapaian yang pernah diraih bekas murid Sekolah Kebangsaan Sura, Dungun itu termasuk muncul naib johan Pertandingan Debat Abaqirah peringkat negeri 2018, johan Debat Abaqirah peringkat negeri 2019 dan dinobatkan sebagai 10 pendebat terbaik pertandingan Debat International Islamic University Malaysia (IIUM) peringkat antarabangsa 2019.

Kejayaan pelajar Tingkatan Lima itu juga ialah sebagai peserta Qatar Arabic Debate 2020, dinobatkan sebagai 10 pendebat terbaik dalam pertandingan International Musleh Arabic Debate 2021 dan muncul johan Pertandingan Syarahan Bahasa Arab peringkat negeri 2019.

Sementara itu, Tokoh Kokurikulum Perempuan pula menjadi milik Hanin Farzana Zainal Abidin manakala Tokoh Kokurikulum Keusahawanan dimenangi Wan Hawa Wan Mamat@Muhammad.

Tokoh Kokurikulum Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dimenangi Syarifah Maryam Syed Hasan dan Tokoh Kokurikulum Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dimenangi Aniq Firdaus Maliki.

Mohd Hariff Ahmad pula dipilih sebagai Tokoh Guru Kokurikulum Lelaki dan Fatimah Mohamad dinobatkan Tokoh Guru Kokurikulum Perempuan.

Anugerah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.