IPOH - Seramai 268 pegawai penguat kuasa dan pemantau harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak digerakkan bagi memastikan peniaga mematuhi harga maksimum 11 barangan kawalan sempena Deepavali.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemantauan dilakukan secara berterusan di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026.
Menurutnya, pelaksanaan skim itu berkuat kuasa selama tujuh hari bermula Rabu hingga 10 November ini meliputi tempoh empat hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan dua hari selepas sambutan Deepavali.
"Kita mahu memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga, terutama bagi barangan keperluan yang mendapat permintaan tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena sesi walkabout SHMMP Deepavali 2026 dan Program Pasar PATUH Peringkat Negeri Perak di Pasar Tanjung Rambutan di sini pada Rabu.
Antara 11 barangan yang dikawal harga ialah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, santan kelapa dan bawang merah kecil India.
Turut disenaraikan ialah bawang merah kecil India (Ros), bawang merah besar, kentang China dan kacang dal Australia.
Kamalludin berkata, sepanjang pelaksanaan SHMMP Deepavali tahun lalu, sebanyak 35 peniaga dikenakan kompaun atas kegagalan mempamerkan tanda harga merah jambu bagi barangan kawalan direkodkan di negeri ini.
"Kita berharap perkara sama tidak berulang tahun ini. Kita bukan mahu mengambil tindakan semata-mata, sebaliknya mahu memastikan semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.
Beliau berkata, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda antara RM100,000 sehingga RM500,000.
Sementara itu, kesalahan gagal mempamerkan tanda harga merah jambu boleh dikenakan denda sehingga RM20,000.
Dalam perkembangan sama, Kamalludin berkata, pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan peniaga di Pasar Tanjung Rambutan hasil pemantauan bersama beberapa agensi berkaitan.
Katanya, pemeriksaan turut melibatkan aspek kebersihan, pematuhan lesen perniagaan, paparan harga serta penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan.
Program Pasar PATUH itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan peniaga menjalankan perniagaan secara beretika serta mematuhi peraturan ditetapkan.
Sehingga kini, pelaksanaan Program PATUH di Perak merangkumi lapan premis Pasar PATUH, satu premis Zon Tumpuan Pelancongan PATUH dan 21 premis Zon Persinggahan PATUH.