'Ketukan misteri tengah malam, makin lama makin kuat'

Iklan
Ketukan misteri pintu rumahdidakwa berlaku sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk beberapa kampung dan kawasan perumahan di Jerantut.

JERANTUT – Ketukan misteri pintu rumah yang didakwa berlaku sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk beberapa kampung dan kawasan perumahan di daerah ini masih dalam siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Nor Azman Yusof berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan itu selain mengesan individu yang dipercayai terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rondaan juga ditingkatkan di kawasan kediaman sekitar daerah ini bagi meredakan kebimbangan penduduk.

"Polis juga turut memberikan khidmat nasihat keselamatan selain mengadakan pertemuan bersama pemimpin setempat," katanya.

Iklan

Penduduk mendakwa kejadian tersebut berlaku berulang kali pada tengah malam sejak awal pagi Khamis lalu

Media sebelum ini melaporkan berhubung kejadian ketukan kuat di pintu rumah yang didakwa berlaku secara tiba-tiba sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk beberapa kampung dan kawasan perumahan di daerah itu.

Iklan

Penduduk mendakwa kejadian tersebut berlaku berulang kali pada tengah malam sejak awal pagi Khamis lalu dan sekurang-kurangnya 20 rumah di sekitar Kampung Sajang (Simpang Tebing Tinggi) dan Perias menjadi sasaran.

Perkongsian yang tular di media sosial turut memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik penduduk.

Bagaimanapun kejadian masih menjadi tanda tanya apabila tiada kelibat individu dikesan berada di luar rumah ketika pemeriksaan dilakukan.

Sementara itu, Nor Azman menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil perhatian terhadap nasihat keselamatan yang disampaikan pihak polis sebelum ini.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di talian 09-2662222.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kegusaran serta salah faham dalam kalangan masyarakat," katanya.