12 penduduk termasuk kanak-kanak terperangkap dalam banjir

Iklan
Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 5.53 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat mangsa terperangkap akibat banjir dengan paras air dianggarkan sedalam 1.2 meter. Foto:JBPM

GUA MUSANG - Seramai 12 penduduk termasuk seorang kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam banjir sedalam 1.2 meter di Kampung Kuala Nerus Batu 2 di sini pada awal pagi Rabu.

Kesemua mangsa terdiri daripada enam lelaki dan lima wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki sebelum berjaya dipindahkan anggota bomba ke kawasan selamat.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Azrul Izham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.25 pagi berhubung kejadian itu.

Menurut beliau, sepasukan enam anggota bersama sebuah kenderaan utiliti jenis Hilux dan sebuah bot aluminium digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.

Iklan

"Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 5.53 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat mangsa terperangkap akibat banjir dengan paras air dianggarkan sedalam 1.2 meter.

"Anggota kemudian menjalankan operasi pemindahan bagi membawa kesemua mangsa ke kawasan selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Ujar beliau, operasi pemindahan itu berjaya dikawal pada jam 6.51 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.46 pagi.

Jelasnya, operasi berkenaan turut mendapat bantuan lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu melancarkan urusan pemindahan mangsa.