Bank Rakyat bantu pelajar UPSI hilang ibu bapa akibat Covid-19

Iklan
Mohd Zamerey (kiri) menyerahkan sumbangan asnaf kepada Md Amin pada Jumaat.

SHAH ALAM - Bank Rakyat menerusi Jariah al-Barakah Bank Rakyat mengambil inisiatif membiayai yuran pengajian 25 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang kehilangan ibu bapa dan penjaga akibat jangkitan Covid-19 dengan kos keseluruhan berjumlah hampir RM86,000.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, usaha itu seiring dengan semangat serta konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diterapkan oleh kerajaan, melambangkan keprihatinan Bank Rakyat khususnya dalam memberi galakan dan sokongan kepada mahasiswa untuk meneruskan pembelajaran mereka walaupun kehilangan tempat bergantung demi masa depan yang lebih terjamin.

Iklan
Iklan

"Inisiatif ini juga adalah salah satu usaha Bank Rakyat dalam menyokong aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam pelaksanaan program bantuan yang menumpukan kumpulan sasar terjejas pandemik Covid-19 termasuk golongan mahasiswa,” jelas kenyataan itu.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pematuhan Syariah Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak kepada Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff yang diadakan pada Jumaat.

Iklan

Mohd Zamerey turut menyerahkan sumbangan asnaf sebanyak RM30,000 untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar asnaf di UPSI.

Hadir sama, Pengarah Pusat Wakaf Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS), Profesor Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif, Ketua Pembangunan dan Kesedaran Syariah Bank Rakyat, Mohd Hanafiah Mohd Nawawi serta Ketua Waqf, Umrah dan Qurban Bank Rakyat, Wan Mohd Nahar Othman.

Iklan

Menurut kenyataan itu, Jariah al-Barakah yang diperkenalkan pada tahun lalu merupakan inisiatif Bank Rakyat dan Surau Al-Barakah Bank Rakyat untuk menyediakan platform bagi warga kerja Bank dan orang ramai menyumbang seterusnya membantu mereka yang kurang berkemampuan terutamanya golongan B40.

"Hasil kutipan yang diperoleh akan dilaburkan dan kemudiannya keuntungan pelaburan tersebut disalurkan untuk pembangunan sektor pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi masyarakat,” kata kenyataan itu.

Mereka yang berhasrat untuk menyumbang boleh berbuat demikian dengan menggunakan medium perbankan dalam talian menerusi akaun Surau Al-Barakah, 11-0146-412-2 (Bank Rakyat) atau perkhidmatan JomPay (Biller Code: 26492).