SME Bank lancar BEP, lahirkan pengeksport Bumiputera

Iklan
Noh (tiga dari kiri) menyerahkan Surat Tawaran Business Exports Programme kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Impex Sdn Bhd, Iskandar Naini Hanifah pada Khamis.

[DIKEMASKINI] SMALL Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) melancarkan program Business Exports Programme (BEP) bagi melatih dan melahirkan lebih ramai usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pengeksport Bumiputera.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, program itu diadakan menerusi peruntukan dana sebanyak RM30 juta oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi tempoh lima tahun dari 2020-2025.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana hasil data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan nilai dagangan eksport bagi separuh tahun pertama melonjak 30.2 peratus kepada RM585.56 bilion.

"Dengan perkembangan positif ini, saya menggesa usahawan PKS bumiputera merebut peluang untuk memastikan mereka mampu memperluaskan perniagaan ke peringkat antarabangsa melalui program BEP ini.

Iklan

"Melihat kepada potensi usaha ini dan kejayaan yang dicapai sebelumnya, MEDAC telah membuat keputusan untuk menambah peruntukan daripada RM10 juta ke RM30 juta untuk SME Bank melaksanakan program BEP ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Let’s XCESS SME Bank 2021 dan Business Exports Program (BEP) pada Khamis yang dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Muslimin Yahaya, Pengerusi SME Bank, Datuk Seri Nazir Ariff dan Presiden Kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail.

Iklan

Mengulas lanjut, Noh berkata, MEDAC telah menetapkan sasaran agar program BEP ini dapat melahirkan sekurang-kurangnya 75 buah syarikat pengeksport baharu dan juga keseluruhan peserta mencatatkan peningkatan jualan eksport sebanyak RM75 juta.

"Tahniah kepada SME Bank serta rakan kerjasama iaitu Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) kerana telah berganding bahu dalam membangunkan program yang holistik ini. Ia dapat membantu peserta menyertai misi perdagangan yang membuka laluan untuk bertapak di antarabangsa," ujarnya.

Sementara itu, Aria Putera berkata, sehingga kini sebanyak 29 buah syarikat di mana 18 sektor pembuatan dan 11 sektor perkhidmatan telah menyertai BEP.

Katanya, melalui aktiviti intervensi yang berstruktur, syarikat tersebut akan dibimbing dan diselia berdasarkan enam parameter iaitu pengeluaran atau teknikal, kewangan, tenaga kerja, keperluan eksport, pemasaran serta standard dan peraturan.

Jelas beliau, kesemua parameter itu akan membantu usahawan PKS yang terlibat menyediakan syarikat, produk dan perkhidmatan yang dapat memenuhi permintaan serta piawaian yang perlu untuk memasuki pasaran antarabangsa.

"SME Bank turut memberikan latihan keusahawanan percuma yang komprehensif melalui anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) agar mereka dapat bertahan dan cekal bersaing dalam arena perniagaan yang lebih besar dan mencabar," katanya.

Sementara itu, SME Bank meneruskan program Let’s XCESS 2021 yang memberi akses kepada pembiayaan dan pembangunan PKS di enam buah wilayah seluruh negara bagi memastikan usahawan PKS menerima bantuan dan tidak ketinggalan dalam trend pemulihan ekonomi negara ketika ini.

Dalam pada itu, menurut Noh, pemulihan ekonomi yang dijangka berterusan sehingga tahun 2022 ialah petanda baik untuk sektor PKS dan langkah yang diambil oleh SME Bank ini membolehkan usahawan bangkit dalam membangunkan semula perniagaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ujarnya, MEDAC akan memfokuskan untuk menggariskan dasar, inisiatif dan strategi pembangunan usahawan yang lebih berkesan agar semua pihak yang terlibat untuk memajukan PKS negara dapat berfungsi dengan lebih tersusun dan efektif.

"Sekarang ini, apa yang diperlukan oleh usahawan kita selain sokongan dari sudut kewangan ialah khidmat nasihat serta bimbingan untuk mereka meneruskan perniagaan masing-masing.

"Saya pasti program yang dijalankan satu pembuka jalan dalam merealisasikan hasrat kerajaan melihat sektor PKS kembali pulih," katanya.

Menurut Aria Putera pula, fokus utama Let’s XCESS adalah kepada usaha menyelesaikan masalah akses kepada pembiayaan yang sering kali dihadapi oleh usahawan PKS pada masa kini.

Selain itu katanya, tumpuan juga akan diberikan kepada program pembangunan usahawan melalui anak syarikat milik penuh SME Bank iaitu CEDAR.

"Untuk memastikan program Let’s XCESS 2021 kali ini bersifat menyeluruh, SME Bank juga menampilkan syarikat-syarikat besar atau anchor seperti Prowheels Distributor, Petro Teguh, Bateriku.com, Ayamas dan Chatime yang menawarkan peluang kepada usahawan sebagai francais atau peserta program perniagaan mereka.

"Syarikat-syarikat ini juga menyertai Program Pembiayaan Umbrella SME Bank yang akan membantu usahawan mempelbagaikan perniagaan dan memberikan bimbingan bagaimana untuk memastikan perniagaan mereka kekal bersaing secara sihat dengan menggunakan SOP yang lengkap," katanya.

Jelasnya, program jelajah Let’s XCESS 2021 secara maya ini akan diteruskan ke Wilayah Pantai Timur pada 7 Oktober, Wilayah Malaysia Timur (Sabah & Sarawak) pada 21 Oktober, Wilayah Utara pada 11 November, Wilayah Tengah pada 23 November dan yang terakhir di Wilayah Selatan pada 9 Disember.

"Usahawan PKS yang berminat untuk mendapatkan maklumat tentang pembiayaan dan khidmat nasihat perniagaan di mana-mana sesi Let’s XCESS 2021 boleh mendaftar di portal www.smebank.com.my/en/lets-xcess2021,” katanya.