'Realisasikan Islam dalam agenda pentadbiran negara'

Iklan
Siti Zailah semasa ceramah maya isu semasa disiarkan di KelantanTV pada Isnin

SHAH ALAM - Ketua Dewan Muslimat Pas Kelantan, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berpandangan, sudah sampai masanya negara merealisasikan Islam dalam agenda pentadbiran negara.

Menurutnya, apabila Islam dijadikan sebagai penyelesaian, ia akan mewujudkan pentadbiran yang lebih berkualiti, menjadikan negara bersih, berintegriti, berjaya dan paling penting ialah diberkati ALLAH.

Iklan
Iklan

"Lihat bagaimana zaman kegemilangan Islam dahulu. Makmurnya pentadbiran sehingga tiada rakyat yang nak terima zakat.

"Jadi, kita nak negara kita jadi negara yang makmur dari sudut ekonomi, pentadbiran, lahirkan pendidikan cemerlang. Lahirkan negara yang berwibawa, dihormati, tiada rasuah. Tidak ada pilihan lain, iaitu dengan cara kita meletakkan paksi dengan hala tuju yang jelas.

Iklan

"ALLAH amanahkan bumi ini untuk tadbir dengan betul. Inilah ruang terbaik. Kuasa yang diberi. Realisasikan Islam dalam agenda pentadbiran negara,” katanya semasa ceramah maya isu semasa yang disiarkan di KelantanTV pada Isnin.

Menurut beliau, untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, bersih, berintegriti dan berakhlak, tindakan dan cara berfikir perlu diubah berteraskan kepada Islam.

Iklan

"Di Kelantan, alhamdulillah. Apabila diterapkan nilai Islam yang sederhana yang akhirnya beri kesedaran dan keinsafan.

"Kelantan meletakkan tiga teras utama dalam kepimpinan iaitu perhambaan kepada ALLAH, kebertanggungjawab kepada ALLAH dan melaksanakan pemerintahan dengan tekun dan bersungguh-sungguh,” katanya.

Tambah beliau, untuk membina negara maju, sokongan daripada rakyat, kerjasama antara kerajaan pembangkang amat diperlukan.

Katanya, semua pihak perlu membuka hati dan bersatu dengan kerajaan yang dibentuk untuk menjayakan negara dalam membendung masalah Covid-19 bersama.

"Adalah jadi harapan semua untuk pastikan harmoni dan semua pihak bersatu dalam mendepani cabaran ini.

"Syabas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana jadikan pendekatan Keluarga Malaysia untuk memulihkan krisis yang ada di Malaysia. Ini supaya kita dapat berdamai, tidak ada agenda peribadi, khianat, perebutan kuasa,” ujarnya.