BANGI - [KEMAS KINI] Persepsi yang ditanam oleh pihak luar kononnya Pas menjadi punca orang bukan Melayu berasa takut dan tidak menyokong Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai tidak tepat.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tanggapan sedemikian tidak berlandaskan fakta kerana prestasi PN dalam beberapa pilihan raya membuktikan bahawa gabungan itu terus menerima sokongan merentasi kaum.
Ujar beliau, kejayaan PN memenangi beberapa negeri termasuk Kedah, Perlis dan Terengganu jelas menunjukkan sokongan rakyat termasuk dalam kalangan bukan Melayu, masih wujud dan semakin bertambah.
"Jika nak katakan Pas gagal dan menjadi sebab orang bukan Melayu tidak menyokong PN, analisis itu tidak tepat.
"Hakikatnya, ketika Pas belum menerajui PN sekalipun, ada parti yang tetap gagal menarik sokongan bukan Melayu.
“Apa yang penting ialah semua parti komponen bergerak bersama di bawah payung PN, bukan bergerak atas parti masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Pada Khamis, media melaporkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa wujud kebimbangan dalam kalangan ahli dan pemimpin Gerakan serta Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) sekiranya Pas menerajui PN.
Wan Saiful berkata, dua parti itu melihat kemungkinan sukar untuk mereka meneruskan mandat menarik sokongan bukan Melayu sekiranya Pas mengetuai gabungan berkenaan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, setiap parti komponen perlu memperkukuh gerak kerja masing-masing dan memainkan peranan bersama bagi memastikan PN terus mendapat sokongan rakyat.
"PN bertahan sebagai satu gabungan. Selagi kita bekerja sebagai satu pasukan dan menilai berdasarkan pencapaian serta tadbir urus, isu sokongan bukan Melayu tidak seharusnya dijadikan alasan," ujarnya.
Mengulas mengenai kenyataan bekas pemimpin Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang menyatakan belum sampai masanya untuk Pas memimpin PN atau mempertaruhkan calon parti itu sebagai 'poster boy' Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau menegaskan ia hanyalah pandangan peribadi dan bukan pendirian parti.
“Dia bukan lagi sebahagian daripada kepimpinan PN. Setiap orang boleh memberi pandangan peribadi, tetapi yang penting ialah senario sokongan rakyat terhadap kepimpinan Pas ketika ini tidak menunjukkan sebarang masalah.
"Pas bukan hanya dianggotai oleh golongan ulama, sebaliknya turut disertai ramai profesional, teknokrat dan pakar dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan pentadbiran.
“Contohnya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mereka bukan daripada latar belakang ulama tetapi terbukti berkeupayaan mentadbir negeri dengan baik serta mencatatkan pencapaian yang membanggakan,” katanya.