SHAH ALAM – Kerajaan disaran melaksanakan saringan harta secara menyeluruh terhadap semua pegawai dan menteri sebelum mereka dilantik ke mana-mana jawatan penting.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah saringan harta itu penting memandangkan masih terdapat dalam kalangan anggota tentera yang tidak mencukupi keperluan asas di kem-kem mereka.
“Ada dalam kalangan pesara tentera yang masih melakukan kerja tambahan untuk menanggung kehidupan seharian mereka. Kita dapat tahu berita seperti ini.
“Saya mohon kepada pihak kerajaan agar selepas ini semua pegawai dan menteri, tidak kira di kementerian mana sekalipun, wajib disaring semua harta mereka sebelum dilantik ke sesuatu jawatan penting. Cukuplah,” katanya.
Gesaan itu dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu, dengan turut memuat naik laporan media mengenai perkembangan siasatan kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita aset mewah bernilai lebih RM2.2 juta susulan penggeledahan di sebuah kediaman milik isteri kedua kepada bekas Panglima Tentera Darat (PTD) di sebuah negeri di Pantai Timur pada Sabtu.
Menurut sumber, penggeledahan tersebut menemukan dua bagasi yang dipercayai digunakan untuk menyimpan barangan mewah.
Tambahnya, hasil pemeriksaan menemui 23 unit jam tangan jenama Rolex pelbagai model dengan anggaran nilai pasaran semasa berjumlah kira-kira RM2 juta.