Sultan Selangor seru individu lengkap vaksinasi tidak ambil mudah Covid-19

Iklan
Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan rakyat negeri ini yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 agar tidak mengambil mudah dan merasakan diri mereka kebal daripada ancaman wabak berkenaan.

Titah baginda, setiap pihak diminta agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan menjalani kehidupan mengikut norma baharu.

Iklan
Iklan

Baginda juga berharap agar seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor memainkan peranan menasihatkan rakyat negeri ini supaya mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.

"Beta berharap rakyat beta memberi kerjasama sepenuhnya untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19 masing-masing seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” titah baginda sewaktu Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Negeri Selangor yang Ke-14 Tahun 2021 pada Isnin.

Iklan

Dalam perkembangan sama, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kebimbangan berhubung penularan wabak Covid-19 di Selangor yang merekodkan jumlah pesakit dan kematian tertinggi di Malaysia.

Baginda berpendapat, peningkatan jumlah pesakit dan kematian akibat Covid-19 adalah disebabkan kelalaian setiap pihak terhadap penguatkuasaan dan pematuhan SOP yang dikeluarkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Iklan

"Beta sedih apabila melihat kesusahan rakyat beta yang kematian ahli keluarga dan anak-anak kehilangan ibu bapa tempat bergantung,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Sharafuddin bertitah, operasi kilang-kilang yang mana pihak majikan gagal menyediakan SOP ketat untuk pekerja yang datang bekerja menjadi antara faktor peningkatan kes di negeri ini.

Titah baginda, keadaan ini menjadi bertambah kritikal apabila ada dalam kalangan rakyat yang tidak mematuhi larangan merentas daerah dan negeri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan pulang ke kampung sewaktu Aidilfitri dan Aidiladha lalu.

"Ini telah mengakibatkan wujudnya kluster-kluster baharu dan penularan wabak secara meluas ke seluruh negara.

"Lebih memburukkan lagi keadaan apabila terdapat pemimpin-pemimpin politik, golongan kenamaan dan selebriti menyalahgunakan kedudukan dengan sewenang-wenangnya melanggar perintah dikeluarkan ketika PKPD berkuatkuasa menerusi aktiviti yang dilarang KKM dan MKN,” titah baginda.