Buntu banjir termenung setiap tahun

Iklan
Noh (kanan) menziarahi Fatimah (dua dari kanan) selepas rumah warga emas itu ditenggelami banjir sejak Khamis lalu.

TANJONG KARANG - [DIKEMASKINI] Seorang warga emas buntu apabila terpaksa berdepan banjir termenung berikutan fenomena air pasang besar dan hujan lebat sejak Khamis lalu.

Fatimah Sabran, 74, berkata, kawasan rumahnya di Kampung Blok B Sawah Sempadan di sini ditenggelami air sedalam satu meter dan keadaan yang berlaku setiap tahun yang turut membimbangkan penduduk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, banjir termenung cukup memeritkan penduduk apabila banjir seolah-olah tidak menunjukkan tanda surut.

"Saya pun tidak dapat jangka bila banjir ini surut malah hari ini (Ahad) paras air naik," katanya pada lawatan banjir Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar di sini pada Ahad.

Iklan

Fatimah berkata, selain kediamannya, terdapat dua lagi rumah penduduk berhampiran mengalami nasib sama.

Mengulas mengenai kejadian banjir, Fatimah yang menetap bersama tiga anaknya berkata, air mula naik ke rumahnya pada jam 6 petang Khamis.

Iklan

"Saya terkejut apabila membuka pintu dan mendapati pekarangan rumah sudah dinaiki air," katanya.

Sementara itu, Noh berkata, kawasan kampung itu dan Jalan Persekutuan Pekan Tanjong Karang kerap dinaiki air berikutan air pasang besar.

Jelas beliau, keadaan bertambah buruk apabila fenomena itu bertembung dengan hujan berterusan.

"Kawasan Kampung Sawah Sempadan memang kerap dilanda banjir memandangkan kawasan ini merupakan tadahan air.

"Pada awal saya menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang, kawasan ini lebih teruk hingga kita terpaksa menaiki sampan untuk menziarahi rumah penduduk terjejas," katanya.

Justeru beliau bercadang mengadakan satu mesyuarat khas bersama pejabat daerah Sabak Bernam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

"Kita akan bincang masalah ini bagi mencari langkah penyelesaian bagi menangani banjir di kawasan ini," katanya.