PEKAN - Dua pelajar antara empat lelaki ditahan selepas dikesan menunggang motosikal sambil mempamerkan aksi bahaya di Jalan Kuantan- Segamat di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Pekan, SuperintendAn Mohd Zaidi Mat Zin berkata, aksi bahaya ditunjukkan penunggang berusia 16 hingga 23 tahun itu dikesan sepasukan anggota dari Balai Polis Paloh Hinai yang sedang melakukan rondaan dan pemantauan di lokasi terbabit.
Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai sedang berlumba dengan menunggang sambil menundukkan kepala, membuat aksi 'zig-zag' dan 'wheelie'.
"Anggota terlibat berjaya mengecam dan mengekori kumpulan tersebut sebelum mereka ditahan.
"Pemeriksaan mendapati semua penunggang tidak memiliki lesen memandu dan tiga daripada mereka masih di bawah umur," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Mohd Zaidi berkata, semua yang ditahan bersama motosikal dibawa ke Balai Polis Paloh Hinai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Kompaun RM1,500 turut dikeluarkan terhadap individu terlibat atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di bawah Peraturan 17(1) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021," katanya.
Tambah beliau, dalam pemeriksaan itu polis turut mengeluarkan 15 saman atas pelbagai kesalahan trafik terhadap penunggang terlibat.
Sementara itu, dalam operasi sama, seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan selepas motosikal yang digunakan disyaki motosikal curi.
Menurutnya, motosikal jenis Honda EX-5 yang digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Semakan lanjut mendapati nombor pendaftaran yang digunakan didaftarkan atas motosikal jenis Yamaha RXZ, manakala nombor casisnya juga dipercayai milik motosikal lain.
"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.