SHAH ALAM - Larian IJM Allianz Virtual Highway Run 2021 yang kali pertama dianjurkan secara virtual, mendapat sambutan sangat menggalakkan apabila lebih 2,000 peserta mengambil bahagian dalam acara tersebut.
Sejak sesi pendaftaran dibuka 1 Mei lalu serta tempoh larian dilanjutkan sehingga hujung bulan lalu, jumlah penyertaan peserta itu adalah sesuatu yang mengejutkan penganjur.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif/Timbalan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai berkata, pihaknya sangat berterima kasih atas sokongan padu peserta larian itu selepas tidak dapat menganjurkan IJM Allianz Duo Highway Challenge seperti kebiasaannya berikutan pandemik Covid-19.
"Saya amat berterima kasih atas sokongan dan kepercayaan peserta bahawa meskipun ketika kita berada dalam tempoh sukar, kami harus menganjurkan larian ini untuk komuniti yang meminati aktiviti larian bagi meneruskan amalan hidup sihat.
"Kami berharap anda seronok menyertai larian ini. Perkara yang menarik mengenai larian secara virtual ialah anda tidak perlu melakukannya mengikut masa di tetapkan. Sebaliknya anda boleh melakukannya pada bila-bila masa atau beberapa kali yang anda sukai. Rekodkan larian anda dan mencabar peserta lain dalam larian itu," katanya.
Jelas Chun Fai lagi, untuk tahun depan, beliau berharap segala-galanya akan kembali kepada kehidupan normal sekali gus pihaknya dapat menganjurkan larian berkenaan seperti biasa di atas jalan raya.
"Harap pada tahun depan kami tidak lagi menganjurkan larian virtual. Kami sangat berharap apabila pandemik dijangka berakhir hujung tahun ini, kami dapat berlari bersama dengan anda di atas jalan raya. Kami perlu terus kekal positif dan percaya dengan kerjasama semua pihak, Malaysia akan kembali kepada kehidupan normal seperti biasa pada tahun depan," katanya.
Sementara itu, Allianz Malaysia Berhad berkata, pihaknya gembira untuk meneruskan kerjasama dengan IJM Corporation Berhad bagi meneruskan larian berkenaan bagi edisi kelima.
"Kami berasa gembira untuk terus bekerjasama dengan IJM dan berminat untuk menerokai peluang-peluang lain yang mampu menambah nilai ke acara larian ini walaupun dengan situasi pandemik yang kian meningkat kini.
"Namun, kita perlu melihat situasi semasa untuk memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah selamat dan mematuhi SOP yang ditetapkan untuk orang ramai.
"Salah satu contoh terbaik adalah larian secara maya ini dan kami menyokong inisiatif IJM untuk meneruskan aktiviti sihat ini dalam persekitaran yang selamat untuk orang ramai," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir.
Menerusi larian secara virtual yang dianjurkan itu, terdapat tiga kategori yang dipertandingkan bagi memenuhi kehendak peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kehendak dan lapisan umur.
Kategori pertama dinamakan 'Let's Run' yang menawarkan dua pilihan cabaran. Cabaran pertama peserta perlu melengkapkan larian dengan pilihan jarak 6 kilometer (km), 13km, 21km atau 42km manakala cabaran kedua pula peserta perlu menyelesaikan empat jarak daripada cabaran pertama dan kemudian hantarkan kesemua empat catatan berbeza itu.
Kategori kedua yang dinamakan 'Hit The Wall' pula peserta menguji kemampuan diri dengan merekodkan larian paling jauh dalam satu sesi. Untuk kategori pertama dan kedua, setiap larian boleh direkodkan menerusi apa sahaja aplikasi atau jam yang boleh merekodkan jarak larian.
Kategori ketiga pula dinamakan 'My Way, My Forte' yang mana peserta perlu mengambil gambar dengan gaya terbaik mengikut tempat yang ditentukan. Kemudian muat naik, kongsi dan letak tanda pagar '#ijmhighwayrun2021' sekali gus berpeluang untuk muncul pemenang.
Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web http://www.ijmhighwayrun.com serta Facebook IJM Allianz Duo Highway Challenge