Tok batin berjaya tarik orang asli suntik vaksin

Iklan
Abdul Rahman (dua dari kiri) semasa meninjau PICK di Dewan Jubli Perak, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis, Gua Musang pada Ahad.

GUA MUSANG - Usaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menjadikan tok batin sebagai ikon atau teladan telah berjaya menarik orang asli dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Timbalan Menteri I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pendekatan diperkenalkan pada awal Mei lalu itu telah menunjukkan peningkatan positif dari masa ke masa apabila hampir 30 peratus masyarakat orang asli telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Iklan
Iklan

"Untuk permulaan kita (KPLB) hanya menerima 6,000 permohonan untuk mendapatkan suntikan vaksin, tetapi hari ini sudah mencecah 38,000 orang asli bersedia untuk divaksin.

"Sehingga kini 15,000 asli selesai menerima kedua-dua suntikan vaksin. Biarpun kadar 30 peratus itu masih di paras yang rendah, namun ia adalah satu pencapaian yang baik setakat ini selepas mengambil kira beberapa faktor.

Iklan

"Antara faktor utama adalah disebabkan jumlah bekalan (vaksin) dan jarak perjalanan yang agak jauh di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya selepas melawat PICK di Dewan Jubli Perak, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis di sini pada Ahad.

Abdul Rahman (kanan) meninjau proses suntikan vaksin di PPV bergerak menggunakan bas MARA Liner di RKT Paloh, Gua Musang.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Nik Mohamad Abduh Nik Abd Aziz; Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/ Terengganu, Tuan Haji Zamri Mustajap, Pemangku Ketua Pengarah JAKOA, Shafie Abas dan Pengurus Besar KESEDAR, Dr Shahrir Mohammad Zakey.

Iklan

Program ini adalah kerjasama antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), menerusi agensi di bawahnya iaitu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Majlis Amanah Rakyat menerusi anak syarikat MARA Liner Sdn Bhd serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Pejabat Kesihatan Gua Musang.

KESEDAR mengambil inisiatif menggunakan kenderaan agensi untuk membawa masyarakat sekitar ke tempat pemberian vaksin.

Menurutnya, pemilihan tok batin merupakan landasan tepat kerana mereka adalah individu paling berpengaruh dalam kalangan komuniti orang asli.

Abdul Rahman berkata, sekiranya tok batin telah menerima suntikan, penduduk di sesebuah kampung akan mengikut jejak langkah tersebut.

3

PPV bergerak MARA Liner rancakkan vaksinasi luar bandar

Pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak menggunakan bas MARA Liner yang diubah suai menjadi inisiatif baharu diperkenalkan kerajaan bagi merancakkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di kawasan luar bandar.

Abdul Rahman berkata, langkah itu secara tidak langsung mampu mengelakkan berlakunya keciciran dalam kalangan penduduk untuk menerima suntikan vaksin.

"Setiap PPV bergerak MARA Liner dilengkapi dengan doktor dan jururawat terlatih dalam melancarkan gerak kerja vaksinasi dalam kalangan masyarakat luar bandar,” katanya.

Menurutnya, PPV bergerak ini akan dibawa masuk ke kawasan-kawasan kampung dan pedalaman bagi menjayakan PICK melibatkan orang asli, warga emas, gelandangan, orang kurang upaya (OKU) dan golongan B40.

Beliau berkata, kemudahan PPV bergerak MARA Liner itu mampu melakukan suntikan ke atas 1,000 penerima setiap hari.

Abdul Rahman berkata, sehingga kini KPLB mempunyai 18 buah PPV bergerak MARA Liner yang telah digerakkan dalam menjayakan PICK.

"Kita ada 30 bas kesemuanya untuk PPV bergerak ini. Jika ada pihak yang memerlukan mereka boleh memaklumkan perkara ini kepada KPLB dan kami akan sediakan perkhidmatan itu,” katanya.

REAKSI

"Saya gembira apabila masyarakat orang asli sudah mula yakin untuk menerima suntikan vaksin dalam menghindarkan jangkitan Covid-19. Ia sekali gus memperlihatkan mereka sudah tidak lagi terpengaruh dengan khabar angin negatif berkait vaksin sebelum ini." - Tok Batin RPS Kampung Merlong, Kuala Betis, Ibrahim Marija, 64.

Ibrahim Marija

"Saya mencadangkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turun ke setiap kampung dalam menarik lebih ramai masyarakat orang asli menerima suntikan vaksin." - Tok Batin Pos Blau, Gua Musang, Salleh Angah, 58.

Salleh Angah

"Alhamdulillah akhirnya saya terpilih juga untuk menerima suntikan vaksin selepas membuat pendaftaran pada Mac lalu. Saya gembira dapat menyahut seruan kerajaan dalam melawan Covid-19." - Anak peneroka, RKT Kesedar Paloh, Khairiah Awang, 30.

Khairiah Awang

INFO

1. Masyarakat orang asli di Kuala Betis dan peneroka di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh 1, 2 dan 3 menerima vaksin jenis Sinovac.

2. Seramai 230 masyarakat orang asli menerima suntikan vaksin Covid-19 di Dewan Jubli Perak RPS Kuala Betis, manakala 400 di RKT KESEDAR Paloh 1, 2 dan 3 pada Ahad.

3. Kemudahan PPV di Gua Musang iaitu di Dewan Pusat Latihan KPTM-KESEDAR, Dewan Felda Chiku 5 dan Dewan Kesuma Majlis Daerah Gua Musang.

4. KESEDAR turut menyediakan kemudahan kenderaan bergerak untuk golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan yang tiada pengangkutan untuk ke PPV dengan menghubungi talian 09-9132200 sambungan 263/269