Warga Indonesia didenda RM3,000 jual lembu curi

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

MELAKA - Seorang lelaki warganegara Indonesia didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menjual lembu yang dicuri, bulan lepas.

Ahyar, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Ahyar didakwa bersama-sama seorang lagi dengan sengaja melupuskan suatu harta iaitu seekor lembu jantan kepunyaan Nor Azizi Mohamad Sidin, 39, dengan menjualnya kepada Mohd Najib Mat Som, 36, pada harga RM2,700.

Ahyar didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kebun getah berhampiran kandang lembu milik seorang lelaki di Kampung Kelubi, Jasin, pada kira-kira jam 11.30 pagi, 8 Jun lepas.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ahyar yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman denda diberikan kepadanya dengan alasan mempunyai tanggungan isteri dan anak selain tiada pendapatan tetap.

Iklan

Dalam prosiding sama, seorang penjawat awam, Mazli Bakar, 53, turut didakwa terhadap pertuduhan sama yang dilakukan pada masa, tarikh dan tempat sama.

Mazli yang diwakili peguam Izzuddin Ab Malek bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan hanya bekerja sebagai pembantu am di Hospital Jasin dengan gaji kira-kira RM1,400 sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli memohon mahkamah memberi hukuman setimpal kepada Ahyar dan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap Mazli.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohamad Izwan menjatuhi hukuman denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya Ahyar gagal membayar denda itu manakala Mazli dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 1 September depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes Mazli. - Bernama