'Bukan tempat makan angin'

Iklan
Nelayan membantu mencari mangsa di sekitar pulau buatan.
PONTIAN - Mungkin ramai tidak mengetahui kewujudan pulau buatan di perairan Tanjung Piai. Lokasinya terletak di tengah lautan menimbulkan persoalan sehingga ada yang mahu ke pulau tersebut.

Namun bagi nelayan tempatan, mereka cukup masak dengan pulau buatan yang sebenarnya masih tidak mempunyai struktur kukuh sehingga mengundang risiko terjerlus dan lemas.

Kejadian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nurul Jannah Zainal, 17, yang masih hilang selepas terjerlus ke dalam pasir di pulau buatan pada Isnin lalu, amat mengejutkan.

Tragedi malang yang pertama kali berlaku di pulau buatan itu seharusnya membuka mata banyak pihak untuk menguatkuasakan perintah larangan bagi orang awam menjejakkan kaki ke pulau buatan berkenaan.

Nelayan, Yaacob Mohd Said, 60, berkata, kedudukan pulau buatan berdekatan laluan perdagangan antarabangsa menyebabkan banyak kapal dagang di sekitar pulau buatan.

Selain itu, tongkang membawa muatan pasir juga terdapat di sekeliling pulau buatan menyebabkan suasana di situ agak sesak dan merbahaya kepada orang awam.

"Pulau buatan itu terletak betul-betul di tengah laut. Memang boleh nampak dari Tanjung Piai tetapi pulau itu bukan tempat untuk makan angin.

"Kapal dagang bersaiz cukup besar lalu di perairan Tanjung Piai dekat dengan pulau buatan. Dari Tanjung Piai sudah nampak dengan jelas banyak kapal dagang.

"Tidak selamat rasanya jika ke pulau buatan tanpa tujuan dan keselamatan khas seperti memakai jaket keselamatan,” katanya.

Yaacob tidak menolak kemungkinan ada yang tertarik untuk melihat pulau buatan berkenaan kerana lokasinya di tengah laut dikelilingi kapal dagang dirasakan menarik.

Jelasnya, jarak antara Jeti Pengkalan Tanjung Piai dengan pulau buatan yang cukup dekat iaitu hanya 500 meter turut menarik orang awam untuk ke pulau buatan itu.

"Saya minta supaya syarikat pemaju yang membina pulau itu memasang papan tanda larangan untuk orang awam ke sana.

"Kerajaan negeri juga perlu melihat perkara ini dengan mengetatkan kawalan keselamatan di pulau buatan tersebut,” katanya.

Yaacob berkata, pengalaman pernah berdepan arus laut kuat ketika menjaring dekat pulau buatan membuatkan dia lebih berhati-hati untuk mendekati pulau itu.

"Saya selalu menjaring dekat pulau buatan, memang banyak ikan di situ. Bagaimanapun, kawasan di situ mempunyai arus laut yang cukup kuat.

"Ramai tidak tahu kawasan pulau buatan mempunyai arus yang kuat. Ia sangat merbahaya kepada nelayan kecil,”katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Nurul Jannah dikhuatiri lemas selepas terjerlus di pulau buatan dekat perairan Tanjung Piai Isnin lalu.

Nurul Jannah yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut disedari hilang kira-kira jam 10.30 pagi ketika berada di pulau buatan itu bersama adik perempuannya Shahdatul Aisyah, 14, dan empat lagi rakan mereka.