Ulang kaji 4 pagi, solat dhuha rahsia kejayaan Nur Fatin

Iklan
Nur Fatin Najwa

PONTIAN - Kesusahan dihadapi bapa dalam mencari rezeki dengan meniaga di pasar malam mendorong Nur Fatin Najwa Jasman, 19, memberi komitmen sebaik mungkin dalam pelajaran sehingga mencapai keputusan Mumtaz (cemerlang) dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 yang diumumkan pada Khamis.

Nur Fatin yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Bugisiah Benut, memperoleh tujuh mumtaz, dua jayyid jiddan (sangat baik) dan satu jayyid bagi 10 mata pelajaran yang didudukinya.

Iklan
Iklan

Meskipun tidak mendapatkan keputusan 10 mumtaz bagi kesemua mata pelajaran namun keputusan diperoleh sudah cukup membanggakan Nur Fatin Najwa dari Kampung Parit Archong, Benut berikutan berdepan cabaran semasa tempoh belajar secara dalam talian.

Anak sulung daripada empat beradik ini, membuktikan belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam bukan halangan untuknya terus belajar dan mengulang kaji pelajaran.

Iklan

"Bimbangan ustaz dan ustazah banyak membantu memandangkan banyak subjek diambil bagi STAM. Pada mulanya ketika saya melalui PdPR, memang ada perasaan tertekan.

"Tetapi saya terus mencari jalan untuk terus dapat belajar dengan sering bertanya kepada ustaz dan ustazah serta kawan- kawan melalui WhatsApp atau panggilan telefon," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Menurut Nur Fatin Najwa, ayahnya Jasman Muhamad, 44, berniaga di pasar malam menjual kuih namun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun lepas, ayahnya berdepan kesukaran untuk mencari rezeki.

"Melihat ayah yang begitu gigih mencari rezeki termasuk mencari lokasi kedai untuk berniaga membuatkan saya lebih bersemangat untuk belajar.

"Ibu Hamisah Hasan, 43, pula membuat kuih bangkit bagi tempahan ketika Aidilfitri," katanya.

Nur Fatin Najwa memberitahu, dia sering mengamalkan solat sunat dhuha selain mengulang kaji pelajaran pada jam 4 pagi.

"Selepas solat, saya akan berdoa supaya diberi petunjuk dan kekuatan untuk terus mengharungi cabaran hidup selain sentiasa bermotivasi untuk mengulang kaji pelajaran.

"Saya juga sentiasa mengambil makanan sunnah seperti kismis dan kurma," katanya.

Beliau berazam mahu menjadi guru bahasa Arab dan seterusnya membalas jasa ibu dan ayahnya selain menjadi inspirasi kepada adik-adik yang masih kecil untuk berjaya.