Sultan Kelantan perkenan salur bantuan RM1 juta

Iklan
Sultan Muhammad V

KOTA BHARU - Sultan Muhammad V mengampuni perkenan supaya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan bantuan RM1 juta kepada golongan asnaf di seluruh Kelantan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu pada mulanya disediakan oleh MAIK untuk program bersama KDYMM Sultan Muhammad V sepanjang Ramadan namun mendapat perkenan untuk disalurkan kepada golongan terjejas.

Iklan
Iklan

Katanya, Sultan Kelantan mengambil maklum mengenai susah payah rakyat jelata dalam mengharungi kehidupan ketika negara ini masih lagi berdepan Covid-19.

"Jadi dengan sumbangan RM1 juta yang dikurniakan itu, baginda benar-benar berharap dapat memberikan kegembiraan kepada asnaf, anak yatim, pelajar tahfiz dan golongan memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, Sultan Muhammad V turut menzahirkan rasa dukacita apabila fasiliti kesihatan yang dilaporkan kritikal dengan pertambahan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dengan jumlah keseluruhan 17 yang dibuka di Kelantan.

"Baginda menzahirkan kebimbangan dengan tren semasa pandemik Covid-19 di Kelantan meskipun jumlah kes individu yang dijangkiti virus itu menunjukkan penurunan sejak beberapa hari namun angkanya masih lagi tinggi.

Iklan

"Sultan Muhammad V juga sukacita menyeru seluruh rakyat di negeri Kelantan untuk terus berdoa ke hadrat Ilahi supaya sentiasa dilindungi dan seluruh rakyatnya dijauhi wabak Covid-19," katanya.

Menurut beliau, baginda juga bertitah mengajak seluruh rakyat terus mendisiplinkan diri dan mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan pusat mahupun negeri.

"Sama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya dapat melandaikan keluk jangkitan Covid-19 dan pada masa sama tidak berlaku pertambahan kluster baharu di Kelantan,” katanya.