Kerajaan Johor digesa pertimbang pampasan kepada peniaga bazar

Iklan
Jimmy Puah Wee Tse

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri digesa mempertimbangkan sejumlah pampasan kepada peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri yang terjejas berikutan arahan semua bazar Ramadan dan Aidilfitri dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditutup mulai Isnin.

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jimmy Puah Wee Tse berkata, arahan berkenaan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peniaga bazar.

Iklan
Iklan

Katanya, di Johor terdapat daerah iaitu Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi kini dalam kawasan PKP.

"Beribu peniaga bazar yang kebanyakannya golongan B40 terjejas ekoran perintah mengejut ini.

Iklan

Ini kerana katanya, kebiasaannya pada hujung Ramadan merupakan waktu untuk para peniaga menghabiskan stok perniagaan, mendapatkan semula modal pusingan atau menjana keuntungan.

"Para peniaga yang terjejas sepatutnya dibantu kerajaan. Sebagai contoh, kerajaan Selangor yang memperuntukkan RM5 juta bagi membantu 11,000 penjaja bazar Ramadan yang terjejas di negeri itu," katanya.

Iklan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu itu berkata, kerajaan negeri perlu menjadikan tindakan pantas kerajaan Selangor sebagai dorongan untuk membantu peniaga terjejas di Johor.

Pada Sabtu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penutupan semua bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Isnin.

Bazar Ramadan dan premis yang tersenarai dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) pula akan ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta.