Ketua pembantu tadbir didakwa kemuka dokumen palsu

Iklan
Noradlina (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Seorang ketua pembantu tadbir di sebuah kementerian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen butiran palsu untuk katering majlis hari raya di kediamannya, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Noradlina Idris, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Iklan
Iklan

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Noradlina yang ketika kejadian bertugas di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia didakwa selaku ejen kerajaan, mengemukakan tiga dokumen Pesanan Kerajaan yang dilampirkan bersama invois masing-masing bertarikh 13, 14 dan 18 Ogos 2014 berjumlah RM11,350.

Ia mengandungi butir matan palsu iaitu pembayaran bagi pembekalan makan tengah hari dan petang bagi perjumpaan Yang Berhormat (YB) Menteri bersama tetamu pada Ogos 2014 di Bangunan Sultan Abdul Samad sedangkan bayaran itu sebenarnya bagi perkhidmatan katering majlis hari raya di kediaman tertuduh di Bandar Seri Putra pada 16 Ogos 2014.

Iklan

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Putrajaya pada Ogos 2014 lalu.

Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa SPRM, Abdul Muntaqim Abdul Aziz mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kesemua pertuduhan.

"Pihak pendakwaan juga mencadangkan tertuduh memenuhi syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan dan larangan mengganggu saksi," katanya.

Bagaimanapun, ibu kepada empat anak yang tidak diwakili peguam itu merayu agar kadar ikat jamin dikurangkan kerana mempunyai masalah kewangan.

Selepas mendengar rayuan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta memenuhi syarat-syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 4 Jun depan untuk sebutan semula kes.