Tamparan hebat pada sistem pentadbiran negara

Iklan
Akmal Nasrullah - Foto FB Akmal Nasir

JOHOR BAHRU - Pendedahan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkaitan campur tangan politik dalam agensi itu merupakan satu tamparan hebat yang merobek sistem pentadbiran negara.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia juga satu penghinaan terhadap anggota polis bagi memenuhi serta melindungi kehendak politik sesetengah pihak.

Iklan
Iklan

Justeru katanya, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diletakkan di bawah Parlimen perlu segera diwujudkan bagi menyiasat skandal terbesar yang mencemarkan negara dan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Negara semalam (Jumaat) dikejutkan dengan pengakuan terbuka Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang bahawa beliau merupakan individu dalam audio yang tular di media sosial berhubung dakwaan campur tangan dalam pelantikan polis. Pada 12 April lalu, beliau menafikan campur tangan tersebut.

Iklan

"Audio itu perlu diberi perhatian serius apabila pelantikan pegawai tinggi polis tidak lagi berpandukan merit yang sepatutnya tetapi lebih kepada memilih 'kroni' menteri," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya pada Sabtu.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menegaskan, pengakuan Hamzah secara terang-terangan merupakan suatu penyalahgunaan kuasa serta kedudukannya sebagai menteri dan Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Iklan

Jelasnya, walaupun Hamzah merupakan Pengerusi SPP namun beliau tiada kuasa mutlak dalam membuat keputusan dan masih mempunyai limitasi yang perlu dipatuhi.

"Semua keputusan tersebut perlu melalui proses saringan berdasarkan kriteria dipersetujui oleh SPP.

"Bagaimanapun pendedahan dan pengakuan Menteri KDN telah mencemarkan nama baik SPP dan memberikan isyarat bahawa suruhanjaya itu tidak bebas dan bertindak hanya dengan telunjuk menteri," katanya.

Jelas beliau, lebih malang apabila aduan oleh Ketua Polis Negara itu telah disampaikan sendiri kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Tegasnya, gejala sebegini masih terus berlaku tanpa ada sebarang tindakan susulan bagi mengekang budaya ini dari terus berleluasa.