KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] UMNO tidak menerima sebarang usul yang menggesa parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan untuk dibahas dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 pada 14 hingga 17 Januari ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah keseluruhan 662 usul yang dihantar ke ibu pejabat parti itu tidak menyentuh tentang perkara tersebut.
“UMNO parti utama yang membentuk kerajaan ini. Tetapi, seperti biasa kita tidak pernah boleh menghalang untuk jurucakap daripada negeri-negeri (mengemukakan usul sedemikian) sepertimana tradisi dan kelazimannya.
“Jurucakap dan sayap mewakili negeri serta bahagian masing-masing. Mungkin akan ditimbulkan tapi bagi kami di peringkat ibu pejabat UMNO tak pernah menghalang.
“Ini adalah medan yang harus digunakan sepenuhnya oleh kepimpinan dan warga parti, PAU secara tradisinya medan muhasabah dan intropeksi parti. Kita tak menolak usul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena PAU 2025 di Menara Dato’ Onn di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi memaklumkan, usul paling panas atau banyak dihantar UMNO Bahagian adalah menuntut keadilan dan pengampunan penuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ditanya mengenai wakil parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yang bakal hadir ke PAU 2025, Asyraf Wajdi memberitahu, pihaknya tidak menghantar jemputan kerana tumpuan utama kali ini memfokuskan kepada perbahasan usul dan isu dalaman parti.
Ini kerana katanya, penting untuk ahli dan perwakilan bercakap secara terbuka dan meluahkan segala perasaan yang terbuku di hati sesama ‘adik-beradik’.
PAU menyaksikan seramai 6,412 perwakilan berdaftar dan bakal hadir ke acara tahunan itu termasuk Wanita UMNO (1,995); Pergerakan Pemuda UMNO (1,173) dan Puteri UMNO (1,146)
Berdasarkan 662 usul itu, negeri yang paling banyak menghantar cadangan ialah UMNO Perak, diikuti Johor, Selangor, Kedah, Sabah, Pahang, Kelantan, Terengganu dan lain-lain.
Kesemua UMNO negeri menghantar usul manakala di peringkat 191 bahagian pula hanya 16 yang tidak mengemukakan perkara tersebut.