PRK Kinabatangan: Naim tumpu isu 'tiga serangkai', peluang pekerjaan

Iklan
Mohd Naim ketika (kanan) ketika meninjau rumah penduduk yang pernah dibantu oleh arwah Bung Moktar semasa hayatnya di Kampung Bilit, Sukau.

KINABATANGAN - Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Naim Kurniawan Moktar menjadikan isu pembangunan  infrastruktur asas 'tiga serangkai' sebagai fokus utama yang akan diketengahkan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan berkata, tumpuan itu merangkumi kemudahan jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik, khususnya bagi merapatkan jurang kemudahan antara kawasan bandar dan luar bandar sekiranya diberi mandat.

Iklan
Iklan

"Memang yang utama di Kinabatangan ini pembangunan infrastruktur asas agak sedikit ketinggalan, terutamanya dari segi jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik di kawasan luar bandar.

"Selain itu, peluang pekerjaan juga menjadi cabaran kepada generasi penerus yang sebaya dengan saya, di samping pembangunan yang dapat merancakkan pulangan ekonomi kembali kepada Kinabatangan itu sendiri," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib menyampaikan sumbangan kepada pekebun kecil di Kampung Bilit, Sukau di sini pada Jumaat.

Ditanya mengenai kelebihan beliau sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, Mohd Naim berkata, kedudukannya sebagai wakil daripada pihak kerajaan membolehkan perancangan pembangunan di Kinabatangan dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan.

Iklan

"Sudah semestinya apabila seorang wakil rakyat berkhidmat di pihak kerajaan, peruntukan dapat disalurkan dengan lebih lancar kepada kawasan yang diwakili.

"Justeru, pembangunan yang dirancang dapat digerakkan dengan lebih berkesan demi kepentingan rakyat," katanya.

Menyentuh soal persediaan jentera BN beliau berkata, parti berada dalam keadaan bersedia berdasarkan pengalaman menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini.

"Dari segi parti, Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Sukau baru sahaja menghadapi PRN Sabah dan sehingga hari ini PDM-PDM (Pusat Daerah Mengundi) BN tetap bersedia.

"Di DUN Kuamut pula, kita tidak bertanding pada pilihan raya lalu dan kawasan itu juga telah disiapkan bagi menghadapi PRK Parlimen Kinabatangan," katanya.

Mengulas mengenai usaha untuk meneruskan legasi bapanya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, beliau berkata, jasa dan sumbangan yang dicurahkan hampir tiga dekad sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag masih dirasai serta dihargai penduduk setempat hingga ke hari ini.

"Alhamdulillah, segala budi bakti yang telah dicurahkan selama hampir 30 tahun Allahyarham sebagai ahli Parlimen dan ADUN Lamag masih dirasai oleh hampir semua penduduk kampung di Kinabatangan ini.

"Justeru, saya amat komited untuk meneruskan khidmat bakti yang telah dilaksanakan oleh keluarga saya agar sumbangan itu terus hidup walaupun pemergiannya telah berlaku," katanya.

Mohd Naim berkata, legasi yang ditinggalkan arwah menjadi dorongan untuk beliau berkhidmat dengan penuh tanggungjawab demi masyarakat Kinabatangan.

"Sebagai anak, saya melihat perkara ini sebagai sesuatu yang membanggakan kerana sumbangan itu masih dikenang dan dihargai. Ada rumah yang dibina lebih 10 tahun lalu, jasa dan keprihatinan Allahyarham tetap diingati sehingga hari ini," katanya.