Inspektor didakwa terima suapan RM6,200

Iklan
Tertuduh (tengah) ketika dibawa ke pekarangan Mahkamah sesyen Melaka pada Selasa.

MELAKA - Seorang Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6,200 dipercayai bagi menyelesaikan kes daun ketum dan rokok seludup, dua tahun lalu.

Tertuduh, J S Kalvinderjit, 34, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, bagaimana pun mengaku tidak bersalah, sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan pada Selasa.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan berbentuk wang tunai dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM6,200 tanpa balasan daripada Mohd. Hadaffy Mokhtar Ruzaini dengan mengetahui dia mempunyai hubungan terhadap kerja-kerja rasmi tertuduh.

Tindakan itu dilakukan tertuduh antara jam 11.30 malam hingga 2 pagi di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu IPD Jasin pada 8 hingga 9 Mac 2019.

Iklan

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Difahamkan tertuduh menerima suapan tersebut bagi menutup kes membabitkan daun ketum dan rokok seludup.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan nilai jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam, Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh bagaimana pun merayu, agar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu membiayai rawatan ibu mentua yang menghidap strok.

Tambahnya, tertuduh juga merupakan seorang pegawai polis dan akan memberikan kerjasama kepada pihak SPRM untuk hadir ke mahkamah.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah memutuskan ikat jamin sebanyak RM5,000, dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 21 Mei depan sebagai sebutan semula kes.

Sebelum itu, suasana di pekarangan Mahkamah Sesyen, bertukar kecoh apabila beberapa individu dipercayai anggota polis, cuba menghalang petugas media daripada merakam gambar tertuduh ketika dibawa ke bahagian pengurusan mahkamah untuk proses jaminan.

Individu-individu tersebut bertindak mengiringi tertuduh dan berdiri terlalu rapat di hadapan lensa kamera walaupun diminta untuk memberikan kerjasama.