SSM tumpu pemerkasaan usahawan

Iklan
Alexander (tengah) menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran kempen ‘Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar’ pada sambutan Hari Ulang Tahun Ke-19 SSM. Turut serta, Hasnol (kiri) dan Nor Azimah.

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) telah menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada golongan usahawan kumpulan B40 dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Azimah Abdul Aziz berkata, skim tersebut dijangka memberi manfaat kepada 180,000 usahawan kumpulan B40 dan pelajar IPT.

Iklan
Iklan

Menurutnya, SSM menyasarkan sebanyak 30,000 pendaftaran akan dilakukan oleh peniaga di bawah SPPP sehingga hujung tahun ini.

"Kami melaksanakan SPPP untuk menggalakkan usahawan mendaftarkan perniagaan mereka.

Iklan

"Kami membantu dari segi pendaftaran percuma. Maksudnya mereka boleh mendaftarkan perniagaan yang sah melalui skim ini. Ini adalah galakan daripada kami supaya lebih ramai golongan sasaran menceburi bidang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran kempen ‘Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar’ sempena Sambutan Ulang Tahun SSM yang ke-19 di Ibu Pejabat SSM di sini pada Jumaat.

Alexander (tengah) bersama penerima zakat dan sumbangan CSR SSM pada sambutan Hari Ulang Tahun Ke-19 SSM di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Iklan

Program itu telah dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi SSM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Nor Azimah berkata, SPPP pada awalnya hanya ditawarkan kepada golongan belia dan ibu tunggal dalam kumpulan B40 serta pelajar IPT sepenuh masa.

Namun kini katanya, SSM telah menambah baik dengan memperluaskan penerima skim ini iaitu kepada semua usahawan kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa.

"SPPP diperkenalkan sebagai pemudah cara untuk usahawan dan bakal usahawan mendaftarkan perniagaan sekali gus untuk bantu menerokai dan bergerak ke arah digitalisasi yang berpotensi serta mempunyai masa depan yang cerah.

"Semua usahawan kumpulan B40 dan pelajar IPT boleh mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma berserta cetakan maklumat perniagaan. Sehingga 31 Mac lepas, sebanyak 4,447 perniagaan telah didaftarkan,” katanya.

Menurut Azimah, pemohon boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian menerusi ezbiz.ssm.com.my.

Katanya, pemohon terlebih dahulu perlu mendaftarkan diri sebagai pengguna Ezbiz Online dan melakukan pengesahan identiti diri secara dalam talian dalam tempoh PKP atau hadir ke pejabat SSM yang berdekatan.

"Setiap pemohon perlu melampirkan salinan kad pengenalan, manakala salinan surat perakuan pelajar dari IPT diperlukan bagi pelajar sepenuh masa,” katanya.

Hak usahawan

Nor Azimah berkata, kempen itu dilancarkan untuk memperkenalkan kemudahan yang disediakan oleh SSM kepada orang ramai terutamanya usahawan yang belum mendaftarkan perniagaan mereka.

"Perniagaan berdaftar adalah perniagaan yang sah di sisi undang-undang dan mempunyai maklumat lengkap dan terkini yang disimpan oleh SSM untuk semakan awam.

"Mereka juga boleh memelihara hak-hak mereka sebagai usahawan. Malah, mereka juga boleh mendapatkan pinjaman atau dana apabila urus niaga dilaksanakan mengikut undang-undang,” katanya.

Alexander (berdiri, dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada pengunjung yang turut hadir mendapatkan maklumat terkini mengenai SPPP pada sambutan Hari Ulang Tahun Ke-19 SSM di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sementara itu, Alexander berkata, kempen ‘Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar’ yang diperkenalkan adalah bagi memberi kesedaran dan menggalakkan peniaga mendaftarkan perniagaan mereka.

"SSM telah memberi kelainan pada sambutan ulang tahun kali ini dengan memperkenalkan kempen khas yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2021 dan melibatkan pejabat negeri dan cawangan seluruh negara.

"Perniagaan yang berdaftar juga dapat melindungi pengguna daripada ditipu serta memberi keyakinan kepada pembeli untuk menjalankan aktiviti urus niaga, menguatkuasakan hak di sisi undang-undang, mendapatkan dana bagi modal perniagaan dan pelbagai faedah lain,” katanya.

Alexander berkata, SSM komited membantu komuniti perniagaan untuk meringankan beban mereka melalui pelaksanaan inisiatif melanjutkan pengecualian kompaun atas kelewatan memperbaharui pendaftaran dan pendaftaran baharu perniagaan.

"Pengecualian ini dijangka akan membantu lebih 330,000 entiti perniagaan,” katanya.

Selain itu, SSM juga telah menaikkan nilai ambang semasa keterhutangan di bawah Seksyen 446 Akta Syarikat 2016 dari RM10,000 ke RM50,000 bermula 1 April 2021 bagi membantu syarikat yang terkesan.

"Insentif ini berjaya menunjukkan penurunan yang ketara dalam jumlah Petisyen Penggulungan yang diserah simpan kepada SSM,” katanya.

Majlis Sambutan Ulang Tahun SSM yang ke-19 turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik seperti sesi ‘Corporate Talk’ secara webinar, khidmat nasihat mengenai produk dan perkhidmatan SSM, semakan kompaun, edaran kurma serta agihan zakat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada rumah kebajikan terpilih.