IPOH - Lee Teng Hong Resources Sdn Bhd (LTH Resources) mengukuhkan kedudukannya dalam industri mineral tempatan dengan membangunkan kilang pengeluaran produk akhir berasaskan kaolin di Bercham.
Kilang pemprosesan kaolin itu dioperasikan Zhengde Mining Manufacturing Sdn Bhd iaitu syarikat usaha sama antara LTH Resources dan rakan niaga dari China, Guangdong Xiahe Group.
Pengerusi LTH Resources, Ahmad Kamarul Bahrin Shamsuddin berkata, pembangunan kilang dijangka beroperasi pada Oktober depan, menandakan peralihan strategik syarikat daripada aktiviti eksport bahan mentah kepada pengeluaran produk bernilai tambah.
"Sebelum ini kaolin yang dilombong dieksport sepenuhnya ke China untuk diproses sebelum produk siap diimport semula ke pasaran tempatan.
"Model perniagaan itu kini berubah. Bahan mentah akan diproses di sini, produk siap juga akan dihasilkan di sini dan pasaran utama turut disasarkan dalam negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena majlis perasmian Kilang Memproses Kaolin Zhengde Mining Manufacturing Sdn Bhd yang disempurnakan Pengarah Tanah dan Galian Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip di sini pada Sabtu.
Ahmad Kamarul berkata, produk yang dihasilkan itu kelak akan mempunyai pensijilan Halal, selain diiktiraf sebagai produk buatan tempatan sepenuhnya kerana menggunakan bahan mentah serta proses pembuatan di Malaysia.
"Selain produk seramik, kaolin yang diproses juga berpotensi digunakan untuk menghasilkan panel bahan binaan, alumina serta produk sanitari seperti mangkuk tandas, tab mandi dan singki," katanya.
LTH Resources yang ditubuhkan pada 2021 kini mengendalikan operasi di kawasan seluas kira-kira lapan hektar di Bercham dengan memanfaatkan kekayaan sumber geologi negeri Perak bagi membekalkan bahan mentah kritikal kepada pasaran domestik dan antarabangsa.