Sekolah tetapkan aktiviti sukan ikut kaum bertentangan aspirasi KPM

Iklan
Datuk Dr Mah Hang Soon

SHAH ALAM - Tindakan menetapkan kaum untuk pelajar memilih aktiviti sukan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Batu Pahat, Johor tidak bersesuaian dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut laporan portal The Star, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata,tindakan sekolah tersebut untuk membataskan aktiviti sukan kepada sesetengah kaum sahaja tidak seharusnya berlaku.

Iklan
Iklan

"Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, mempromosikan perpaduan adalah antara aspirasi KPM dan salah satu cara untuk melakukannya adalah melalui sukan.

"Sukan harus bersatu, bukan perpecahan," katanya pada Sabtu.

Iklan

Beliau menyifatkan dasar itu sebagai satu kesilapan kerana bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Mengulas lanjut, Dr Hang Soon berkata, Jabatan Pelajaran Johor telah meminta sekolah tersebut untuk meminda dokumen itu kepada yang baharu tanpa batasan perkauman.

Iklan

"Ia satu kesilapan di pihak pengetua. Melalui kegiatan sukanlah kita boleh menggalakkan integrasi, pelajar bermain bersama dan meningkatkan perpaduan, keakraban dan semangat kebersamaan.

"Saya sudah minta sekolah mengubah dasar ini, ia tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.

Pada Jumaat, seorang pengguna Twitter telah berkongsikan sekeping gambar yang menunjukkan surat senarai pendaftaran aktiviti kokurikulum dan sukan bagi pelajar Tingkatan Satu yang didakwa terbuka kepada satu kaum sahaja.

Menurut gambar tersebut, dinyatakan bahawa bola sepak dan sepak takraw hanya terbuka untuk pelajar lelaki Melayu, bola jaring hanya terbuka untuk pelajar perempuan Melayu, sementara bola keranjang dan ping pong hanya terbuka untuk pelajar lelaki dan perempuan Cina.

Selain kegiatan sukan, sekolah itu juga sebelum ini menetapkan hanya kaum tertentu boleh menyertai sejumlah kelab berdasarkan bahasa, mata pelajaran, kebajikan dan kepercayaan.

Kelab Pendidikan Moral dan Kelab Interact sebelum ini dikhususkan untuk pelajar Cina dan India sahaja.

Kelab Pendidikan Islam pula terhad untuk pelajar Melayu, sementara Persatuan Agama Buddha dan Persatuan Bahasa Cina untuk pelajar Cina sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: KBS bidas tindakan sekolah tetapkan sukan mengikut kaum