KUALA LUMPUR - Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor memaklumkan belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung pertukaran Ketua Pembangkang.
Beliau berkata, pihak pembangkang tidak ada menyatakan kekosongan untuk jawatan tersebut.
"Setakat ini, walaupun saya di sini dan soalan ini ditimbulkan ketika saya mempengerusikan sidang, ia melibatkan kepada struktur asas Dewan Rakyat iaitu Ketua Pembangkang.
"Jadi setakat ini saya percaya Timbalan Speaker seorang lagi pun belum menerima apa-apa arahan. Saya percaya, belum ada lagi hitam putih yang diusulkan daripada pihak sebelah kiri atau pembangkang untuk menyatakan kekosongan itu," katanya ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Terdahulu, SN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan persoalan mengenai kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainudinn sebagai Ketua Pembangkang, selepas beliau dipecat keahliannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini.
Ramli berkata, pemakluman kekosongan perlu secara hitam putih dalam perspektif perundangan dalam Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Pas dijangka mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat susulan pemecatan Hamzah daripada Bersatu.
Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu turut dipersetujui Majlis Tertinggi (MT) gabungan berkenaan.
Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa perincian lanjut termasuk calon ahli Parlimen bagi jawatan berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang.