Polis berkas suspek dalam senarai dikehendaki

Iklan

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang disenarai sebagai orang dikehendaki polis ditahan dalam satu serbuan di Flat Cengal, Taman Putri Kulai, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, penahanan lelaki berusia 25 tahun itu dilakukan susulan pihaknya menerima laporan berkaitan kes curi sebuah motosikal.

Iklan
Iklan

"Kita terima maklumat berkaitan kes curi sebuah motosikal sebelum menahan suspek kira-kira jam 9.30 malam.

"Siasatan awal kemudiannya berjaya mendapatkan pengakuan suspek yang terlibat mencuri sebuah motosikal jenis Honda EX5 di Flat Temengong,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Iklan

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di lokasi serbuan turut menemui sebuah motosikal, beberapa keping nombor pendaftaran palsu, pakaian dan kelengkapan melakukan jenayah.

"Selepas semakan dibuat, polis mendapati suspek juga merupakan orang dikehendaki melibatkan sebuah kes di Bemban, Melaka.

Iklan

"Suspek mempunyai empat rekod lampau iaitu dua kes Seksyen 354/348 Kanun Keseksaan dan satu kes dadah di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) yang mana dirinya disenarai orang dikehendaki," katanya.

Beng Yeow berkata, menerusi saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai untuk mendapat perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.