Kes puasa: Suspek utama akan diserah ke IPD Klang Selatan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Suspek utama kes tampar, pukul dua pengawal peribadinya yang berpuasa selain mengacu pistol ke arah mereka akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan kes terbabit hampir lengkap dan pihaknya akan mencadangkan pertuduhan terhadap suspek di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

"Reman suspek akan tamat pada Sabtu dan kita akan serahkan dia ke IPD Klang Selatan untuk siasatan di sana.

"Dalam masa sama, kita akan hantar kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat," katanya pada Jumaat.

Iklan

Mohamad Zainal memaklumkan suspek berusia 43 tahun itu berada dalam tahanan reman tiga hari di Ibu IPD Dang Wangi selepas ditahan di sebuah lokasi di Klang, Selangor kira-kira jam 8.30 malam pada Rabu susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

Dalam kejadian jam 10 malam Selasa itu, kedua-dua mangsa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi Residensi One KL, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Iklan

Kedua-dua mangsa kemudian mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, Selangor, sebelum dipukul dengan sebatang rotan serta diacu pistol.

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul pengawal peribadi sebab puasa, empat lelaki direman

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, empat individu merupakan pekerja kepada majikan tersebut telah ditahan pihaknya yang kini direman selama lima ke tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan.

Arjunaidi berkata, hasil serbuan pada Rabu di sebuah rumah seorang daripada suspek di Bukit Tinggi di Klang telah merampas sepucuk pistol dan 10 butir peluru, rotan yang digunakan untuk memukul kedua-dua mangsa selain membawa kepada penemuan 100 kilogram jongkong emas dan 12,500 not kertas AS$100 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM28.25 juta.