Biarkan melompat hingga patah kaki, kata Abdul Hadi

Iklan
Pas merupakan sebuah parti yang paling berpengalaman dalam menghadapi masalah lompat parti dalam kalangan ahli politik.

SHAH ALAM - Hanya yang mempunyai jati diri, jiwa kental dan akidah Islam sahaja akan terus kekal untuk meneruskan perjuangan kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, parti tersebut tidak menjadikan perbuatan melompat parti sebagai suatu perkara yang boleh menghalang perjalanan dan tujuan asal Pas.

Iklan
Iklan

Katanya, hanya yang tidak ada integriti akan melompat keluar daripada Pas, manakala pendatang baharu akan dapat menyesuaikan diri bersama parti tersebut.

"Mereka yang rapuh akan melompat keluar parti, namun Pas terus menerima pendatang baharu dan menambahkan jumlah ahli yang akan terus mengalami proses tarbiah.

Iklan

"Namun, mereka yang gagal proses tarbiahnya selepas itu, biarkan dirinya melompat keluar lagi sehingga patah kaki.

"Hanya yang mempunyai jati diri, jiwa kental dan akidah Islam sahaja akan terus kekal bersama parti Pas dalam melangsungkan perjuangan bersama,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Iklan

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas merupakan sebuah parti yang paling berpengalaman dalam menghadapi masalah lompat parti dalam kalangan ahli politik.

"Sejak ditubuhkan, Pas yang paling berpengalaman dalam menghadapi perangai melompat parti. Sehingga sudah menjadi perkara biasa, khususnya dalam sistem demokrasi yang menjadikan politik terlalu dinamik,” katanya.

Menurut beliau, perbuatan lompat parti mampu membersihkan parti itu dan memperkukuh asas perjuangannya.

"Maka janganlah menghukum apabila ada golongan yang melompat keluar meninggalkan atau menyertai Pas, sehingga terdapat mereka yang beberapa kali melompat keluar dan masuk semula. Malah, hukumlah diri sendiri.

"Pas hanya mengambil manfaat daripada politik lompat melompat. Hanya mereka yang melompat dengan niat yang tidak ikhlas sahaja akan patah kakinya. Namun, ahli yang setia tetap tidak akan patah semangat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Pas bukan sahaja menerima penyertaan ahli biasa, malah pemimpin parti yang telah dipecat sering kali menjadikan parti itu sebagai tempat persinggahan.

"Pentas Pas sentiasa dibuka kepada semua, termasuk mereka yang dipecat daripada parti masing-masing, antaranya Dr Mahathir (1969), Tengku Razaleigh (1990), dan Anwar Ibrahim (1998),” katanya.

Ujarnya, Pas akan terus berusaha menambah keahlian baharu dengan membuka pintu dan menerima sesiapa yang ingin datang kepadanya.

"Pintu sentiasa dibuka kepada sesiapa yang mahu masuk dan mahu keluar, sama ada secara berjalan atau berlari, termasuk yang melompat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Pas akan terus menegakkan integriti, bukan sekadar menyebutkan slogan bagi memancing undi rakyat untuk menubuhkan kerajaan.