Johor Tigris sedia mengaum

Iklan
Johor Tigris menjanjikan aksi terbaik apabila saingan STL Champions Cup 2020 dijadual bersambung pada Mac depan.

PENYANDANG juara, Johor Tigris sedia memberikan persembahan penuh bertenaga apabila Liga Sepak Takraw (STL) Champions Cup kembali bersambung bulan depan.

Pengurus Johor Tigris, Zuraimi Khamis berkata, anak-anak buahnya tetap bersemangat meneruskan pejuangan mereka selepas saingan Champions Cup terpaksa ditangguhkan seketika susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bulan lalu.

Iklan
Iklan

"Buat masa ini, para pemain menjalani latihan secara individu di rumah masing-masing. Mereka cukup teruja apabila dimaklumkan bahawa STL Champions Cup 2020 akan disambung semula.

"Walaupun kelonggaran bersyarat telah diberikan bagi sesi latihan kepada pasukan yang bertanding tetapi kami masih mencari tarikh yang sesuai bagi mengadakan latihan.

Iklan

"Biasanya kami akan mengadakan kem latihan beberapa hari sebelum kejohanan bermula untuk mencari keserasian antara permain,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebagai rekod, Johor Tigris dinobatkan sebagai juara STL Champions Cup 2019 apabila menewaskan Penang Black Panthers.

Iklan

Pada edisi kali ini, pasukan dari selatan tanah air itu diundi dalam 'kumpulan maut' bersama juara Liga Premier 2020, KL Thunder dan juara Divisyen Satu 2020, Bomba Fighters.

Setakat ini, Johor Tigris bermula langkah bergaya apabila mencatatkan dua kemenangan daripada dua perlawanan ketika bertemu dengan KL Thunder dan Putrajaya Cyborg.

Menurut Zuraimi, pasukannya akan berusaha mengekalkan momentum menjelang aksi menentang Bomba Fighters bagi memastikan peluang cerah ke peringkat separuh akhir.

"Saya akui Kumpulan A merupakan 'kumpulan maut'. Baik Kl Thunders, Bomba Fighters mahupun Putrajaya Cyborb, setiap pasukan itu tidak boleh dipandang rendah.

"Ia bukan tugas mudah untuk kami mempertahankan kejuaraan ini. Cuma saya harap pemain dapat mengekalkan prestasi mereka sepertimana sebelum Champions Cup ditangguhkan,”ujarnya.