MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) akan meneliti bentuk bantuan jangka panjang bagi memastikan kebajikan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin terus terbela selepas tangan kanannya terpaksa dipotong akibat kemalangan.
Timbalan Presiden MOM, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MOM bagi mengenal pasti bentuk bantuan dan keperluan yang boleh disalurkan kepada atlet yang mesra disapa Udin itu.
Menurutnya, perbincangan turut membabitkan Presiden MOM serta kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), khususnya dalam merangka program pemulihan dan hala tuju Udin selepas pulih.
"Insya-ALLAH saya akan berbincang dalam mesyuarat MOM nanti mengenai program yang boleh membantu serta keperluan yang diperlukan oleh Hafizuddin.
"Di peringkat MOM, saya senada dengan Presiden dan mungkin kita akan membantu dari segi keperluan yang diperlukan oleh keluarganya," katanya selepas melawat Udin di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Khamis.
Tambah Nur Azmi, pihaknya turut melihat kemungkinan Udin menjalani rawatan susulan menerusi kemudahan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Melaka.
Beliau turut berharap atlet itu diberikan sokongan moral sepenuhnya bagi membantunya melalui fasa pemulihan, selain membuka peluang untuk kembali aktif dalam bidang sukan yang bersesuaian dengan keadaannya.
Dalam perkembangan sama, Nur Azmi menggesa MSN mempertimbangkan penyediaan kemudahan pengangkutan 24 jam berserta pemandu bagi atlet di pusat latihan bagi mengurangkan risiko mereka menggunakan kenderaan sendiri.
Katanya, langkah itu perlu diberi perhatian susulan beberapa insiden kemalangan membabitkan atlet negara sebelum ini, termasuk atlet karate.
"Kita perlukan atlet untuk mewakili negara, tetapi tidak mahu satu kerugian besar berlaku selepas apa yang menimpa Hafizuddin sekarang," katanya.
Untuk rekod, Udin terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) kira-kira jam 11 malam Isnin lalu.
Kemalangan itu menyebabkan beliau mengalami kecederaan pada bahagian kaki, bahu dan kepala, manakala tangan kanannya terpaksa dipotong bagi mengelakkan komplikasi serius yang boleh mengancam nyawanya.
Atlet kelahiran Perlis itu meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram.
Kejayaan itu turut menyaksikan beliau mencipta rekod kebangsaan baharu acara snatch menerusi angkatan 162 kilogram, selain rekod baharu Sukan Komanwel dalam kategori berkenaan.