Sesi latihan pertama Pochettino bocor selepas dirakam dron

Iklan
Sesi latihan pertama Pochetiino bersama United di pusat latihan Carrington dirakam dan disebarkan di YouTube. FOTO: Agensi

MANCHESTER United berdepan situasi kurang menyenangkan apabila sesi latihan pertama kendalian pengurus baharu, Mauricio Pochettino dirakam menggunakan dron sebelum rakaman berdurasi kira-kira 12 minit itu tersebar di YouTube.

Rakaman yang dibuat di pusat latihan Carrington pada Khamis itu memperlihatkan Pochettino mengendalikan sesi latihan bersama pemainnya sebagai persiapan menghadapi Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield pada awal pagi Isnin ini (12.30 pagi waktu Malaysia).

Iklan
Iklan

Video yang dimuat naik menerusi akaun YouTube CC Overview itu turut memaparkan pemain United menjalani latihan dalam tiga kumpulan berasingan, termasuk beberapa sesi yang dikendalikan sendiri oleh pengendali dari Argentina berkenaan.

Antara pemain yang dapat dikenal pasti dalam rakaman itu ialah Harry Maguire dan Bruno Fernandes, selain beberapa pemain lain yang sedang menjalani latihan di padang berasingan.

Iklan

Perkongsian rakaman berkenaan menimbulkan persoalan mengenai aspek keselamatan pusat latihan United memandangkan sesi tersebut merupakan latihan tertutup dan tidak dibuka kepada pihak media.

Lebih menarik, pengendali dron berkenaan mempertahankan tindakannya dengan mendakwa penerbangan itu dilakukan mengikut peraturan ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAA) United Kingdom.

Iklan

Menerusi kenyataan yang disertakan pada video itu, pengendali berkenaan mendakwa dron berkenaan sentiasa berada dalam jarak penglihatan, tidak terbang terlalu hampir dengan individu di kawasan latihan serta dilengkapi lesen dan perlindungan insurans berkaitan.

Dia turut menafikan rakaman berkenaan mendedahkan maklumat taktikal penting United dengan alasan video itu dirakam kira-kira setengah jam selepas sesi latihan bermula.

Bagaimanapun, pihak United setakat ini belum memberikan sebarang komen berhubung penyebaran rakaman berkenaan ketika dihubungi media British, Sky Sports.

Insiden itu berlaku ketika Pochettino kesuntukkan masa untuk mempersiapkan skuad bagi menghadapi Liverpool, yang menjadi ujian pertamanya sejak dilantik menggantikan Michael Carrick.

Pengendali berusia 54 tahun itu sebelum ini mengemudi skuad kebangsaan Amerika Syarikat (AS) sebelum mengakhiri tugasnya menerusi kemenangan 2-0 ke atas Haiti dalam aksi terakhirnya pada Selasa lalu.

Pochettino kini memikul tanggungjawab besar untuk mengembalikan United ke landasan kemenangan selepas kelab itu bergelut pada awal musim, sekali gus menjadikan pertembungan di Anfield medan penting untuk memulakan era baharunya.