Tiga ditahan langgar kereta polis

Iklan
Kereta dipandu suspek melanggar kereta polis selepas diarahkan berhenti.

JOHOR BAHRU - Polis berjaya menahan tiga lelaki menaiki sebuah kereta Perodua Viva hitam selepas dikejar selama kita-kira 45 minit di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di sini pada malam Khamis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiga suspek berusia 14 hingga 47 tahun yang ditahan itu bertindak agresif dengan melanggar kereta peronda polis semasa dikejar.

Iklan
Iklan

"Dua daripada tiga suspek itu mempunyai pertalian iaitu bapa saudara yang berusia 47 tahun dan anak saudara berusia 14 tahun. Suspek yang berusia 47 tahun itu memandu kereta berkenaan.

"Kejadian bermula pada jam 10.40 malam semasa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara melihat kereta itu dalam keadaan mencurigakan di Taman Skudai Baru," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Katanya, pihak polis yang sedang melakukan tugas rondaan cegah jenayah sekitar Taman Skudai Baru mengarahkan kereta itu berhenti untuk pemeriksaan namun bertindak melarikan diri.

Katanya, pihak polis mengejar kereta suspek dan berjaya memintasnya sebelum mengarahkan mereka untuk berhenti namun tidak mempedulikan arahan itu malah melanggar kereta polis lalu kembali memecut.

Iklan

"Polis akhirnya berjaya menahan mereka. Berlaku pergelutan antara pihak polis dengan tiga suspek sebelum polis berjaya memberkas mereka. Polis mengejar mereka dari Taman Skudai Baru hingga Taman Ungku Tun Aminah," katanya.

Hasil semakan rekod lampau katanya, seorang suspek yang tidak mempunyai pertalian dengan lelaki berusia 47 dan 14 tahun itu merupakan orang dikehendaki di IPD Johor Bahru Selatan dan juga positif dadah jenis methamphetamine.

Kes itu katanya, disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang pihak polis menjalankan tugas serta mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Tambah beliau, suspek yang positif dadah pula disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

habis.