ALOR GAJAH - Seorang penganggur ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis heroin dan syabu bernilai lebih RM1,300 pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira 4.20 petang ketika menunggang motosikal di Jalan Baharu Ayer Limau-Jeram, Masjid Tanah, di sini.
"Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta didapati positif ujian air kencing,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, suspek direman enam hari bermula 5 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
"Siasatan diteruskan bagi mengesan rangkaian sindiket terlibat dan polis berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah menerusi hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di talian 012-2087222,” katanya. - Bernama