TNB sasar tanam 7,000 anak pokok bakau di Manjung

Iklan
Omar (kiri) menyerahkan pembayaran akhir kepada Pengurus Global Environment Centre (GEC), R Nagarajan untuk Fasa 1 melibatkan penanaman 10,600 pokok bakau di Sungai Limau, Manjung pada 6 Januari 2021.

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyasarkan untuk menanam 7,000 anak pokok bakau di Sungai Limau, Manjung bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2022.

Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek berkata, inisiatif hijau itu adalah fasa kedua projek berasaskan komuniti yang dilaksanakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Environment Centre (GEC), Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, komuniti Sungai Limau, Sahabat Hutan Bakau Kuala Gula dan Sahabat Hutan Bakau Lekir Sitiawan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, melalui fasa pertama inisiatif berkenaan, sebanyak 10,600 anak pokok bakau telah ditanam di kawasan seluas hampir empat hektar di Manjung.

"Kami memulakan usahasama ini pada tahun 2019 untuk menggalakkan komuniti melindungi hutan bakau yang menjadi habitat kepada ribuan spesis.

Iklan

"Kehidupan akuatik seperti ketam telah kembali ke kawasan itu yang menunjukkan keseimbangan ekologi hutan bakau,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, sejak 2013 TNB menanam 23,600 anak pokok bakau dengan 18,800 di Manjung dan 4,800 di kawasan lain di Perak, Selangor, Perlis dan Pulau Pinang.

Iklan

"Dengan tambahan 7,000 anak pokok bakau yang bakal ditanam di Manjung dan 1,000 di Jimah, Port Dickson, ia menjadikan sejumlah 31,600 anak pokok bakal ditanam menjelang 2022.

"Sebagai syarikat yang mengambil berat terhadap alam sekitar, kami komited untuk menghijaukan bumi, selaras dengan nilai teras kami iaitu Prihatin yang menghormati dan menjaga komuniti serta alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah GEC, Faizal Parish berkata, penanaman anak pokok bakau di Sungai Limau membantu memulakan proses pemulihan ekologi kawasan itu yang terjejas akibat ketiadaan arus pasang surut.

"Dengan bantuan 10 ahli Sahabat Hutan Bakau Kuala Gula, kami menggali parit sepanjang 150 meter untuk membolehkan air laut membanjiri kawasan yang bakal ditanam dengan anak pokok bakau dan seterusnya memulihkan habitat semula jadinya,” katanya.

Katanya, penduduk Sungai Limau bersama Sahabat Hutan Bakau Kuala Gula dan Sahabat Hutan Bakau Pasir Panjang Laut akan bekerjasama dalam usaha pemulihan termasuk membekal, menanam, melakukan pemeriksaan berkala dan pemantauan anak benih tersebut.