Cemar sungai, syarikat proses makanan dan minuman didenda RM90,000

Iklan
Pencemaran sungai di Selangor sering menyebabkan gangguan bekalan air.

SHAH ALAM - Sebuah syarikat memproses makanan dan minuman didenda RM90,000 selepas didapati bersalah mencemarkan sungai mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata, syarikat berkenaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini dengan dua pertuduhan kerana gagal mematuhi had piawai ditetapkan mengikut peraturan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi pertuduhan pertama, pada 21 Mei 2019, syarikat tersebut didapati telah melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai bagi lima parameter di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Bagi pertuduhan kedua pula, syarikat tersebut didapati telah melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai bagi satu (1) parameter di bawah Peraturan 12(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Jelas beliau, wakil syarikat berkenaan mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan.

"Berdasarkan fakta kes dan eksibit dikemukakan pihak pendakwaan, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan orang kena saman (OKS) hukuman dengan jumlah denda sebanyak RM90,000.

Iklan

"Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa JAS Selangor, manakala OKS diwakili peguam,"katanya.

Pada masa sama, Nor Aziah turut menegaskan JAS Selangor mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar.

Orang awam boleh melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.