Tauke kedai serbaneka nyaris jadi mangsa pukau

Iklan
Mohd Khalil menunjukkan semula insiden yang berlaku di kaunter depan kedainya di Temerloh Jaya, Temerloh ketika ditemui pemberita hari ini.

TEMERLOH - [DIKEMASKINI] Pemilik kedai serbaneka di Taman Temerloh Jaya di sini nyaris kerugian lebih RM1,000 selepas dipercayai hampir dipukau sepasang warga asing di premis berkenaan pada Ahad.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu membabitkan pasangan lelaki dan wanita berusia lingkungan 40-an dan 30-an dipercayai warga Arab, memasuki premis terbabit.

Iklan
Iklan

Pemiliknya, Mohd Khalil Othman, 44, berkata, ketika kejadian, beliau bersama seorang pekerja berada di kedai yang turut terdapat seorang pelanggan.

"Saya berada di bahagian belakang kedai sedang menyusun barang-barang, manakala pekerja sedang mengemas kini rekod di kaunter hadapan.

Iklan

"Ketika kejadian, wanita itu dilihat cuba melengah-lengahkan dan seolah-olah menghalang saya pergi ke depan kedai dengan bertanyakan mengenai beberapa barangan menggunakan isyarat tangan.

"Lelaki yang bersama wanita itu pula berada di kaunter depan dan turut bertanyakan harga tudung yang dijual di kedai saya ini.

Iklan

"Tiba-tiba mereka kelihatan terkejut apabila saya menyahut pertanyaan mereka dari belakang kedai dalam bahasa Arab sebelum kedua-duanya beredar," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Selepas kedua-dua individu terbabit beredar, katanya, pekerjanya yang berusia 23 tahun segera memberitahu bahawa dia seolah-olah dipukau.

"Pekerja saya beritahu yang lelaki itu mahu menukar wang RM10 sebanyak lima keping dengan memberikan wang kertas RM50 seperti yang diminta.

"Bagaimanapun, lelaki itu segera merampas wang yang ada dalam mesin tunai ketika pekerja membuka mesin wang berkenaan.

"Lelaki itu juga mahu menyentuh pekerja tetapi pekerja saya sempat mengelak sebelum segera merampas kembali wang berjumlah RM1,100 daripada tangan lelaki itu," katanya.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam masa sama, Mohd Khalil turut berharap warga Temerloh berhati-hati dengan kehadiran individu tidak dikenali dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

"Kejadian sebegini merupakan kali pertama saya hadapi sejak kedai ini dibuka lebih enam tahun," katanya.