Kerajaan perlu bertegas individu salah guna kemudahan OKU

Iklan
Muhamad Asyraf (kiri) dan Faiz Suhaimi

SHAH ALAM - Beberapa persatuan orang kurang upaya (OKU) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kemudahan awam disediakan khusus untuk golongan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Penaja Koperasi Usahawan myOKU Selangor Berhad, Muhamad Asyraf Mahat berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkenaan untuk membela nasib OKU sekali gus supaya masyarakat lebih peka.

Iklan
Iklan

"Kami, golongan OKU amat bersetuju jika pihak kerajaan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan serta merosakkan kemudahan awam khusus bagi golongan OKU,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhamad Asyraf yang juga seorang usahawan berkata, beberapa kemudahan OKU yang disalahgunakan antaranya laluan pejalan kali untuk mereka digunakan sebagai tempat meletak motosikal.

Iklan

"Tandas OKU pula digunakan dan dirosakkan oleh pihak yang tidak sepatutnya. Malahan, kemudahan OKU masih belum selaras melibatkan semua lokasi pusat bandar.

"Kemudahan itu hanya terdapat di tempat tertentu dan perlu diselaraskan di seluruh negara terutama bandar.

Iklan

"Antara kemudahan awam yang kurang mesra OKU ialah pengangkutan bas kerana ia menyukarkan golongan OKU berkerusi roda,” katanya lagi.

Tambahnya, tempat parkir kenderaan OKU terutama di kawasan hospital juga selalu disalahgunakan oleh pihak lain.

"Ini antara pengalaman yang sering golongan OKU hadapi pada ketika ini. Mentaliti ini mesti diubah agar semua pihak bertanggungjawab sesama manusia tidak kira orang normal mahupun OKU," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia OKU Malaysia, Faiz Suhaimi berkata, banyak kemudahan khusus OKU disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tetapi kurang pelaksanaan penguatkuasaan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kementerian terlibat.

Menurutnya, antara kesalahan orang awam terhadap kemudahan OKU ialah memakir kenderaan di tempat kenderaan OKU, penyalahgunaan tandas manakala di bangunan dan premis pula, kebanyakan peniaga akan meletakkan kerusi dan meja di lorong laluan OKU.

"Ada juga dalam kalangan pemaju tidak menyediakan kemudahan yang mencukupi dan bersesuaian dengan syarat serta undang-undang yang terdapat dalam akta ditetapkan dalam pembinaan bangunan baharu dan menaik taraf bangunan sedia ada untuk memenuhi keperluan OKU.

"Pihak berkuasa perlu menguatkuasakan undang-undang untuk mengatasi masalah-masalah ini supaya fasiliti yang disediakan akan memberikan manfaat kepada OKU dan digunakan dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berharap Akta OKU 2008 perlu diselaraskan supaya penyalahgunaan fasiliti OKU boleh diambil tindakan sewajarnya.

"Akta OKU 2008 tidak menggariskan hukuman dan tindakan terhadap salahlaku serta tidak ada frasa yang spesifik. Bagaimanapun, untuk melihat semua akta berkenaan akan mengambil masa lama,” katanya.

Sebelum ini, Senator Ras Adiba Radzi berkata, sudah sampai masanya PBT dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang menyalahgunakan kemudahan awam disediakan khusus buat OKU.