UDA kenal pasti aset untuk diberi nafas baharu

Iklan
Steven (tengah) bergambar bersama Khairul Dzaimee (belakang, kiri), Ahmad Fuaad (belakang, kanan) serta Saiful Nizam (dua dari kanan) pada sesi lawatan rasmi ke Chinatown 1974, Jalan Petaling pada Khamis. Foto: Rosli Talib

KUALA LUMPUR - UDA Holdings Berhad (UDA) mengenal pasti kira-kira empat hingga lima aset di seluruh negara untuk diperbaharui dan diaktifkan semula bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi pendekatan pembaharuan aset lama bagi mewujudkan ruang komersial moden dan premium yang mampu diakses usahawan tempatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Chinatown 1974 di Jalan Petaling yang dibangunkan semula daripada bangunan Tunas Utama milik UDA menjadi antara contoh usaha berkenaan.

“Baru-baru ini saya nampak Chinatown 1974 tular di TikTok. Saya ingat ini projek swasta yang baharu. Saya diberitahu, ini sebenarnya aset UDA.

Iklan

“Saya bangga, bangunan yang sudah lebih 40 tahun ini sekarang menjadi tempat baharu untuk orang datang makan, lepak dan pada masa sama membuka peluang kepada usahawan untuk berniaga,” katanya ketika berucap dalam sesi lawatan ke Chinatown 1974 pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali serta Pengarah Urusan Menara Rezeki Sdn Bhd, Datuk Seri Saiful Nizam Mohd Yusoff.

Iklan

Steven memaklumkan, bangunan berkenaan sebelum ini tidak dihuni selama kira-kira lima tahun susulan pandemik Covid-19 sebelum diberi nafas baharu menerusi usaha UDA bersama Menara Rezeki selaku pengendali utama.

Menurutnya, pengaktifan semula aset itu bukan sahaja menyediakan ruang perniagaan kepada usahawan tempatan, malah memberi manfaat kepada kawasan sekitarnya menerusi tarikan pelancong, peningkatan nilai aset serta peluang pekerjaan dan keusahawanan.

“Jangan sampai aset yang sudah lama menjadi ‘tired asset’. Kita masih tanggung kos penyelenggaraan, tetapi orang tidak datang dan usahawan pula susah mahu memanfaatkannya.

“Saya memberi mandat kepada UDA untuk melihat aset-aset lain yang boleh diberi nafas baharu dengan pendekatan sama,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Steven berkata, usaha pembaharuan aset UDA turut dapat dilihat menerusi Heritage Valley Kuala Lumpur yang menyediakan ruang perniagaan berkonsepkan moden dan premium, namun masih mampu diakses usahawan kecil serta PMKS.

Beliau menjelaskan, penyediaan ruang perniagaan sedemikian penting bagi membantu peniaga kecil, usahawan muda dan PMKS menembusi pasaran di bandar besar serta bandar sekunder.

“Kita mahu peniaga kecil, usahawan muda dan PMKS juga berpeluang berniaga di lokasi yang baik dan dekat dengan pasaran.

“Usaha memperbaharui ruang perniagaan supaya lebih moden, premium dan menepati cita rasa pasaran dengan kadar sewa yang bertanggungjawab akan diteruskan UDA termasuk di bandar-bandar besar lain di seluruh negara,” jelasnya.

Chinatown 1974 mengetengahkan konsep ‘Moving Through Time’ yang mengambil inspirasi daripada suasana Chinatown Kuala Lumpur era 1970-an dengan penampilan lebih moden.