Pesawah rugi RM30,000 ditipu 'pegawai LHDN'

Iklan
Mangsa rugi RM30,000 setelah menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai LHDN semalam. - Foto 123RF

ALOR SETAR - Seorang pesawah berusia 37 tahun mengalami kerugian sebanyak RM30,000 setelah menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Cyberjaya, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa yang sudah berkahwin dan berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani itu dihubungi oleh suspek memperkenalkan diri sebagai Encik Khairul Anwar dari LHDN Cawangan Cyberjaya.

Iklan
Iklan

Katanya, suspek kemudian memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM39,800.90 di mana nama mangsa dipercayai telah disalahgunakan oleh individu lain dalam pendaftaran sebuah syarikat di Kuantan, Pahang.

"Ketika itu, talian telefon mangsa terus disambungkan kepada rakan sindiket yang menyamar sebagai anggota polis Kuantan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, mangsa kemudian disoal siasat dan suspek memaklumkan kononnya mangsa secara tidak langsung turut terlibat dalam kegiatan penyelewengan wang serta sindiket dadah.

"Bagi mengelakkan akaun bank mangsa dibekukan, suspek mengarahkan mangsa memindahkan semua wang yang terdapat di dalam tiga akaun bank mangsa kepada satu akaun bank sahaja dan meminta mangsa memberikan nombor akaun bank, nombor kad debit dan butiran perbankan milik mangsa," katanya.

Iklan

Tambahnya, mangsa mulai menyedari dirinya ditipu selepas membuat semakan akaun bank dan mendapati wang berjumlah RM30,000 di dalam akaun bank miliknya telah dipindahkan kepada akaun pihak ketiga.

"Susulan itu mangsa telah membuat laporan polis di Sungai Petani semalam dan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya.

Elias berkata, polis Kedah sentiasa mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan panggilan-panggilan yang mengaku dari agensi kerajaan seperti mahkamah, LHDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atau daripada pihak bank.

"Mereka ini selalunya akan meminta maklumat akaun bank bagi tujuan siasatan atau lain-lain tujuan untuk menipu mangsa," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima melalui https://mvw.facebook.com/CvberCrimeAlertRMP/ .