Ahli Parlimen terima surat daripada Ku Li

Iklan
Syed Saddiq melalui akaun Twitter miliknya, @SyedSaddiq memuat naik surat yang diberikan oleh Ku Li.

SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen dikejutkan dengan sepucuk surat daripada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah @ Ku Li mengenai Usul Tidak Percaya di meja mereka awal pagi ini.

Beberapa Ahli Parlimen dari pembangkang memuat naik menerima surat terbabit di akaun Twitter milik mereka dan mendapat pelbagai reaksi daripada pengikut mereka.

Iklan
Iklan

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddid Syed Abdul Rahman menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya, @Syedsaddiq, mendedahkan menerima sepucuk surat daripada Ku Li di meja ahli Parlimen.

Menurut Syed Saddiq di meja semua ahli Parlimen ada surat mengenai undi tidak percaya yang diberikan oleh veteran UMNO itu.

Iklan

"Di meja semua ahli Parlimen, ada surat 'cinta' dari YB Tengku Razaleigh, Ahli Parlimen BN, untuk ketengahkan isu 'Undi tidak percaya' kepada YAB Perdana Menteri,” katanya.

Syed Saddiq berkata, penolakan datang dari ahli Parlimen kerajaan sendiri.

Iklan

"Pengundian bajet akan diadakan pada Khamis. Apa pandangan rakan-rakan? ” katanya dalam ciapan itu yang turut memuat naik kandungan isi surat berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menerusi akaun Twitternya, @fahmi_fadzil turut memuat naik menerima surat daripada daripada Ku Li dan menzahirkan sesuatu akan berlaku pada Khamis ini.

FAHMI

"Surat YBM @razaleigh ada di meja ahli-ahli Parlimen. Kami semua angkat sumpah dalam dewan yang mulia ini untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menerusi ciapan itu, Fahmi berkata, keabsahan kerajaan PN menjadi tanda tanya terbesar hari ini.

"Apakah kita akan saksikan sesuatu 26.11?" katanya.

Ciapan-ciapan daripada mereka turut mengundang reaksi balas beberapa pengguna Twitter lain yang merasakan ia menyentuh situasi semasa dan politik yang melanda negara kini.

Semalam, Tengku Razaleigh menegaskan tidak akan turut serta dalam perbahasan Belanjawan 2021 selagi Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun tidak membenarkan keabsahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibuktikan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu menyampaikan hasrat itu kepada Azhar menerusi sepucuk surat bertarikh 19 November lalu yang antara lain mengkritik keengganan Azhar membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

"Memandangkan keabsahan kerajaan belum ditentukan, saya terikat dengan nurani dan sumpah saya, maka tidak dapat turut serta dalam perbahasan belanjawan," kata Ku Li dalam surat itu.

Surat itu adalah respon kepada kenyataan Azhar bulan lalu bahawa dia tidak boleh membenarkan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan mendahului usul yang dibawa kerajaan.

Kenyataan itu selepas Tengku Razaleigh menghantar surat kepadanya, bertarikh 25 September, untuk menggesa Azhar membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dibahaskan di Dewan Rakyat.

Dalam responnya, Azhar turut mencadangkan agar Tengku Razaleigh berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan agar usul tersebut dibentangkan.