GLC, GLIC perlu bantu pulih ekonomi

Iklan
Sokongan yang lebih besar daripada GLC dan GLIC diperlukan kerana negara berdepan dengan krisis ekonomi dan kesihatan berikutan penularan pandemik Covid-19 memberikan kesan kepada rakyat serta negara. Gambar kecil: (dari kiri) Nuradli Ridzwan Shah, Ahmed Razman dan Baharom

SYARIKAT Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) perlu membantu negara dalam memulihkan ekonomi negara dengan inisiatif yang lebih ketara serta memberi impak yang langsung kepada sektor perniagaan, peniaga dan isi rumah yang terjejas teruk.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, peranan GLC dan GLIC pada masa ini ialah memberi pulangan atas pelaburan negara melalui dividen serta pelaksanaan beberapa aktiviti yang bersifat sosial.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, pemberian dividen kepada kerajaan adalah berkala mengikut tempoh tertentu dan tidak mampu memberi impak yang segera kepada golongan yang terjejas serta memerlukan bantuan dengan serta-merta,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, sememangnya GLC dan GLIC banyak menyumbang kepada negara, namun apa yang diharapkan adalah sumbangan kali ini lebih berfokus kepada golongan yang terjejas serta dapat disalurkan dengan segera.

Iklan

"Contoh bantuan yang boleh diberikan dengan segera ialah mengambil mereka yang menganggur bekerja dengan mereka, melabur dalam syarikat yang mengalami masalah kecairan tetapi masih mempunyai potensi untuk berkembang serta melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti yang terjejas,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali turut bersetuju agar GLC dan GLIC dapat terus membantu kerajaan memulihkan ekonomi negara.

Iklan

Katanya, sememangnya GLC dan GLIC sentiasa membantu kerajaan tetapi kini sokongan yang lebih besar daripada entiti perniagaan kerajaan itu kerana negara berdepan dengan krisis ekonomi dan kesihatan berikutan penularan koronavirus (Covid-19) yang memberikan kesan kepada rakyat serta negara.

"Selain mewujudkan peluang pekerjaan, GLC dan GLIC juga boleh memberikan suntikan dana dengan membeli sukuk dan bon yang dikeluarkan oleh kerajaan.

"Mereka membeli sukuk dan bon untuk membolehkan kerajaan mempunyai sumber kewangan. Mereka memainkan peranan penting supaya kerajaan tidak meminjam dari luar sebaliknya melakukan bentuk pinjaman dalaman,” katanya.

Nuradli berkata, dengan berbuat demikian, ia akan menampung defisit yang akan ditanggung kerajaan yang mungkin boleh dilihat pada tahun 2021 kerana pendapatan negara akan berkurangan tetapi perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk menangani Covid-19 dan sebagainya.

Menurutnya, kerajaan juga dilihat akan banyak berbelanja untuk menangani krisis kesihatan dan pembangunan negara contohnya dalam membangunkan kemudahan teknologi di kawasan pedalaman bagi membantu negara ke arah negara berasaskan teknologi.

"Dalam berdepan dengan krisis ekonomi dan kesihatan negara di peringkat global, semua pihak perlu memainkan peranan untuk membangun serta memulihkan semula ekonomi negara sekali gus dapat memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Krisis kesihatan

Bagi Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Pusat Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, GLC dan GLIC juga menghadapi tempias kesan daripada kegawatan ekonomi yang berpunca daripada krisis kesihatan.

"Bagaimanapun, mereka tidak terbeban dengan obligasi seperti yang dihadapi oleh pihak kerajaan untuk perbelanjaan ihsan pembangunan dan pemulihan ekonomi secara langsung.

"Mereka selama ini ada terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung melakukan pelaburan tambahan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu ketika kegawatan.

"Kali ini, rayuan diutarakan secara jelas oleh kerajaan kepada GLC dan GLIC untuk lebih agresif kerana dalam situasi sekarang kerajaan sudah mengalami tekanan kritikal terhadap kantung atau punca pendapatan yang jauh merosot daripada jangkaan selain perbelanjaan melonjak daripada jangkaan ekoran perbelanjaan pemulihan dan pengukuhan ekonomi,” katanya.

Menurutnya, pihak swasta juga menghadapi kesukaran akibat kekurangan kuasa membeli dan penutupan atau kekangan yang dihadapi oleh sektor eksport.'

Laporan Sinar Ahad semalam.

"Saya melihat rayuan yang diutarakan kerajaan sebagai satu ‘push’ agar GLC dan GLIC melakukan perbelanjaan serta pelaburan di luar normal atau keadaan biasa supaya sedikit sebanyak merancakkan kembali ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

"Ia bertujuan untuk menyerap mereka yang menganggur akibat situasi pandemik dan melakukan perbelanjaan latihan kepada mereka ini untuk memperoleh kemahiran baharu,” katanya.

Baharom berkata, kerajaan dilihat meminta bantuan daripada GLC dan GLIC kerana keadaan luar biasa, ramalan pendapatan yang jauh menyusut daripada sasaran.

"Selain itu, perbelanjaan yang jauh melonjak daripada ramalan dan perbelanjaan kecemasan pengukuhan serta pemulihan ekonomi, selain sektor swasta yang agak terjejas,” katanya.

Dalam laporan Sinar Ahad semalam, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meminta GLC dan GLIC memberikan sumbangan lebih besar serta membantu negara bagi mengharungi cabaran ekonomi semasa susulan pandemik Covid-19.

Tengku Zafrul berkata, sumbangan GLC dan GLIC kepada ekonomi negara amat penting namun kerajaan memerlukan sokongan yang lebih besar daripada entiti perniagaan kerajaan itu ketika ini.

Beliaul turut menjelaskan beliau kini sudah memulakan rundingan dengan GLC dan GLIC serta meminta supaya semua pemimpin organisasi terbabit memberikan maklum balas mengenai bantuan yang akan diberikan bagi memesatkan ekonomi negara.