Kereta api tergelincir di Segamat

Iklan
Kereta api yang tergelincir berhampiran Stesen Genuang, Segamat, Johor awal pagi tadi.

SEGAMAT - [DIKEMASKINI] Sebuah kereta api membawa 10 penumpang tergelincir dari landasan berhampiran Stesen Genuang, di sini hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian pada jam 2.40 pagi itu, semua penumpang serta kakitangan tren selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Ir Kamarulzaman Zainal berkata, tren itu dalam perjalanan dari Stesen Gemas ke Stesen Johor Bahru Sentral sebelum tergelincir di Kilometer 595.

"Kejadian itu berlaku kira-kira lima kilometer sebelum sampai stesen berkenaan. Kegelinciran bagaimanapun hanya melibatkan dua gerabak dan satu lokomotif.

Iklan

"Landasan utama masih boleh digunakan serta tidak menghalang perkhidmatan tren lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kegelinciran hanya melibatkan dua gerabak dan satu lokomotif.

Berikutan itu katanya, sedikit kelewatan dijangka berlaku di sektor selatan antara Gemas dan Johor Bahru.

Iklan

"Ini kerana semua tren yang melalui kawasan kejadian telah diarahkan untuk memperlahankan kelajuan," katanya.

Pihak KTMB katanya, memohon maaf kepada para penumpang yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Pihaknya sudah menyediakan kenderaan alternatif bagi membolehkan semua penumpang dapat meneruskan perjalanan ke Stesen Johor Bahru Sentral.

Beliau berkata, usaha baik pulih sedang giat dijalankan di lokasi kejadian dan siasatan terperinci juga telah dimulakan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Siasatan turut membabitkan badan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).